Dikhabar ke Utara tanah air, Devan masih pertimbang tawaran NSFC


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Jurulatih NSFC, K. Devan dikhabarkan bakal menerajui pasukan Penang FC untuk musim depan. — Facebook/NSFC

BARU-BARU ini, penyokong setia Negeri Sembilan FC (NSFC) menerima khabar kurang gembira apabila difahamkan bakal kehilangan individu penting dalam pasukan tersebut.

Difahamkan, Ketua Jurulatih NSFC, K. Devan bakal menabur khidmat bersama pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air iaitu Penang FC.

Meskipun belum ada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua pihak, tentunya perkara itu akan mengganggu prestasi semasa dan perancangan masa depan skuad Jang.

Menerusi satu ciapan di Twitter, T. Avineshwaran, NSFC dikhabarkan sedang mengintai peluang untuk merekrut bekas Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai pengendali pasukan itu untuk musim depan.

Ia sekali gus memberi gambaran bahawa khidmat K. Devan bersama skuad Jang akan berakhir dengan khidmatnya ditagih kelab lain.

Tampil mengulas khabar angin tersebut, pengendali skuad Jang itu bagaimanapun enggan memberi sebarang komen ketika ini.

Malah, Devan juga mengatakan bahawa masih menunggu tawaran sambungan kontrak oleh pihak pengurusan NSFC.

"Buat masa sekarang saya tak boleh beri komen apa-apa.

"Bukan apa, sebab sekarang saya masih lagi menunggu Negeri Sembilan memberi tawaran kepada saya," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-11-04 at 17.53.19

Sebahagian aksi barisan pemain skuad Jang dalam sesi latihan menghadapi saingan Liga Super. — Facebook/NSFC

Devan yang enggan menjawab khabar angin itu turut mengatakan bahawa sehingga akhir musim ini, dia masih kekal menerajui NSFC.

"Musim ini belum habis lagi, saya tak boleh cerita pasal kontrak atau perancangan saya.

"Saya kena habiskan tugas saya untuk musim ini, saya masih ada kontrak dengan NSFC," ujarnya.

Devan bagaimanapun tidak menolak sekiranya NSFC masih memberi peluang kepadanya untuk terus kekal mengemudi skuad Jang.

"Sekiranya NSFC menawarkan kontrak untuk musim depan, saya akan mempertimbangkan lagi," jelasnya.

Di samping itu, pengendali berusia 56 tahun itu juga mahu memberi fokus kepada baki perlawanan musim ini dan menyasarkan kedudukan kesembilan dalam saingan Liga Super 2023.

"Saya hanya mahu fokus untuk tiga perlawanan akhir musim ini.

"Mungkin yang terbaik adalah tempat kesembilan memandangkan kini di tangga ke-10," kongsinya.

Untuk rekod, skuad Jang kini berada di kedudukan ke-10 apabila hanya meraih empat kemenangan dengan mengutip 21 mata selepas 23 perlawanan Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram