Tak takut karier terjejas, bekas bintang EPL tetap pendirian sokong Palestin


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Pemain sayap Belanda, Anwar El Ghazi tetap teguh mempertahankan keputusannya menyokong Palestin secara terbuka. — Agensi

MESKIPUN kontrak bersama kelab Bundesliga, Mainz musim ini dibatalkan, pemain sayap Belanda, Anwar El Ghazi tetap teguh mempertahankan keputusannya menyokong Palestin secara terbuka.

Tindakan drastik itu dibuat selepas bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) menafikan telah memuatnaik kenyataan yang mengatakan dia sudah menarik balik hantaran pro-Palestinnya sebelum ini.

Malah, bekas pemain Aston Villa itu turut menyatakan dengan tegas bahawa dia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.

El Ghazi sebelum ini yang digantung oleh Mainz pernah diberi peluang susulan tindakannya menyokong Palestin selepas konflik Israel-Palestin tercetus pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun dia seperti sudah menjangkakan tindakan yang akan dilakukan oleh bekas majikannya.

WhatsApp Image 2023-11-04 at 20.37.24

Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/elghazi21

Menerusi satu perkongsian di Instagram, El Ghazi sempat meluahkan perasaannya dan hanya menganggap perkara itu kecil jika dibandingkan dengan penderitaan yang dialami warga Palestin.

“Berdirilah atas kebenaran walaupun itu bermakna perlu berdiri sendirian.

"Kehilangan mata pencarian saya hanya perkara kecil jika dibandingkan dengan tindakan ganas yang dilancarkan ke atas orang Gaza yang lemah dan tak bersalah,” katanya di Instagram.

El Ghazi sebelum ini menyertai Mainz sebagai ejen bebas selepas meninggalkan kelab Belanda, PSV Eindhoven musim lalu.

Untuk rekod, pemain berusia 28 tahun itu menyertai Mainz pada musim panas selepas bermain bersama Ajax, Lille, Aston Villa dan PSV. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram