BARU-BARU ini, penyokong bola sepak tanah air dikejutkan dengan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) kini menghadapi masalah dalaman.
Meskipun tidak menyatakan secara terperinci masalah dalaman tersebut, namun peminat tempatan seperti sudah dapat menjangkakan bahawa pasukan Liga M itu mengalami isu tunggakan gaji untuk saingan musim ini.
Bukan dua atau tiga, malah enam pasukan yang dikhabarkan mengalami masalah tersebut sehingga terdapat beberapa pemain sudah mula angkat kaki.
Malah bukan sahaja pemain, difahamkan ketua jurulatih turut menerima tempias berikutan masalah dalaman tersebut.
Zainal Abidin pernah mengharumkan nama skuad Tok Gajah ketika tahun-tahun perkhidmatannya sebelum ini. — Facebook
Dalam pada itu, menerusi satu ciapan di Twitter, T. Avineshwaran, Negeri Sembilan FC (NSFC) dikhabarkan sedang mengintai peluang untuk merekrut bekas Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai pengendali pasukan itu untuk musim depan.
Ia sekali gus menunjukkan bahawa khidmat K. Devan bersama skuad Jang akan berakhir.
"Jika K. Devan move on, Negeri Sembilan dalam misi untuk memilih Datuk Zainal Abidin Hassan untuk menjadi Ketua Jurulatih musim depan," katanya.
Selain itu, pemerhati bola sepak tanah air itu turut mengatakan bahawa Penang FC kini mula memetik nama Devan untuk mengemudi pasukan tersebut musim depan.
Selain Devan, nama P. Maniam juga pernah dicadangkan untuk mengemudi skuad Harimau Kumbang itu, namun Maniam yang juga bekas pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City) memilih menjadi sebahagian barisan kejurulatihan Harini FT musim ini.
Untuk rekod, skuad Jang kini berada di kedudukan ke-10 apabila hanya meraih empat kemenangan dengan mengutip 21 mata selepas 23 perlawanan Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram