Enggan terlepas final musim depan, Mat Don beri hint kekal di TFC


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Sebahagian aksi Liridon (jersi putih) ketika dikawal ketat oleh barisan pemain KL City FC. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC (TFC) berjaya merebut tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua pada Jumaat.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, penyerang berbisa Sang Penyu, Ivan Mamut meledak dua jaringan sekali gus memastikan kemaraan Sang Penyu ke final Piala Malaysia 2023.

Selain Ivan Mamut, pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi turut membuktikan bahawa dia masih seorang pemain yang berkualiti.

WhatsApp Image 2023-11-04 at 15.21.40

Kelincahan Liridon bantu Sang Penyu layak ke pentas akhir Piala Malaysia. — Facebook/MFL

Liridon atau mesra dengan panggilan Mat Don itu dilihat beraksi bersungguh-sungguh untuk membantu pasukannya mara ke final dengan melakukan beberapa percubaan ke pintu gawang lawan.

Meskipun berjaya membantu Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia December nanti, kelibat Liridon di pentas final dijangka tidak akan kelihatan.

Hal ini kerana, Liridon merupakan pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) dengan kontrak satu tahun.

Dalam pada itu, menerusi satu perkongsian video di Twitter, pemain naturalisasi negara itu dalam ucapannya memberi bayangan kepada pihak pengurusan TFC agar memberi peluang kepadanya kekal bersama Terengganu untuk musim depan.

Malah, pemain kelahiran Kosovo itu juga meluahkan perasaan sedih kerana tidak dapat beraksi bersama TFC di pentas final nanti.

"Saya sangat sedih kerana tidak dapat beraksi di final nanti.

"Tetapi, untuk musim depan, saya akan pastikan saya tidak akan terlepas untuk sebarang aksi di final," katanya.

Di samping itu, di sebalik kemaraan Sang Penyu ke pentas akhir Piala Malaysia, terdapat insiden berlaku dalam perlawanan tersebut yang melibatkan pemain naturalisasi negara itu.

Liridon menjadi tumpuan penyokong tanah air apabila dikatakan sengaja menjatuhkan badannya ketika diusung ke luar padang pada waktu kecederaan.

Tindakan tersebut nyata mengundang padah apabila pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin melayangkan kad kuning kepada Liridon yang disyaki sengaja melewat-lewatkan permainan.

Di sebalik kontroversi Liridon, kemenangan bergaya TFC memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner membuat perhitungan berdepan anak-anak buah Esteban Solari dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung pada 9 Disember nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram