Bakal buat kelab Liga M pening kepala, FAM perkenal syarat baharu 'apply' lesen musim depan


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Pasukan Liga Super perlu ada skuad pembangunan jika mahu lesen kebangsaan musim depan.

BELUM lagi selesai dengan isu tunggakan gaji, kelab-kelab Liga Super pastinya pening kepala apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan pasukan bertanding perlu ada skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Keputusan berkenaan diputuskan FAM dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu, yang turut menjadi syarat pasukan mendapatkan lesen untuk bersaing dalam Liga Super.

Mungkin bagi pasukan seperti Johor Darul Takzim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC tiada masalah kerana tidak terpalit dengan isu tunggakan gaji.

Namun pasukan seperti Kelantan FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City) mungkin membuatkan mereka berfikir dua kali untuk menyertai Liga Super musim depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memastikan pembangunan akar umbi untuk melahirkan lebih ramai pemain berbakat tidak diabaikan.

"Sekarang ini kita harapkan pasukan ini mencari satu langkah sebab kita tak boleh nak tinggalkan pembangunan, ia perlu. Semua pasukan kena ada, kalau tak macam mana kita nak lahirkan pemain.

"Jadi maknanya kalau pasukan berbelanja RM10 juta, mereka kena peruntukkan juga untuk pembangunan. Kalau kita tak buat macam itu mereka mungkin belanja RM15 juta, RM20 juta, tetapi pembangunan tak ada.

"Kita nak pasukan yang berusaha nak pastikan prestasi terbaik bagi pasukan utama (Liga Super), dalam masa yang sama mesti fikirkan pembangunan akar umbi.

"Memang akan ada masalah dari segi kewangan, tetapi sekarang ini kita nak masing-masing (pasukan) bijak menguruskan kewangan tanpa meninggalkan hak pemain muda untuk beraksi," katanya pada sidang media di Wisma FAM, pada Isnin.

Syarat pelesenan baharu FAM itu dilihat bakal menambah bebanan buat pasukan Liga Super terutama dalam aspek kewangan bagi membentuk dua lagi pasukan muda selain skuad utama Liga Super dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun yang bersaing dalam Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram