Subahan Kamal tuntut Young Tigers bangkit sebelum saingan Piala Dunia Remaja


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara Malaysia dan Pakistan pada Rabu. — Facebook/Malaysian Hockey Confederation

SKUAD remaja kebangsaan perlu memperbaiki segera beberapa kesilapan dan kelemahan yang ada dengan hanya berbaki empat minggu sebelum menghadapi kejohanan Piala Dunia Remaja (JWC) di Kuala Lumpur, bulan depan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ia berdasarkan prestasi Young Tigers dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 yang dilihat kurang memuaskan.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan prestasi skuad remaja berkata pemain perlu disuntik semangat dengan menjalani latihan kem di Kuala Selangor dalam masa terdekat sebagai persediaan menghadapi JWC.

"Kalau hendak kata saya puas hati (dengan prestasi) mereka dalam SOJC, memang saya menipu kalau saya kata puas hati. Jadi, banyak perkara yang jurulatih kena perbaiki.

"Kerana ada beberapa kesilapan mereka buat adalah kesilapan yang lazim, namun sekiranya anda terus mengulangi kesilapan yang sama, ada sesuatu hal yang tidak betul. Jadi, inilah yang kita perlu ada dalam sesi perbincangan itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir SOJC antara Jerman dan Australia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor pada Sabtu.

Subahan berkata, Young Tigers diyakini bangkit dengan lebih bersemangat memandangkan mereka akan menerima kehadiran pakar pukulan sudut penalti dari Australia, Christopher Ciriello yang mampu membantu menajamkan lagi pukulan sudut penalti pemain.

Beliau pada masa sama berkata, meskipun skuad remaja kecundang dan sekadar di tempat ketujuh dalam SOJC, pemain dilihat masih mampu memberikan saingan kepada pasukan-pasukan gergasi dunia dalam kejohanan SOJC.

Sepanjang kempen SOJC, skuad remaja kebangsaan kalah dalam empat perlawanan dan hanya menewaskan Afrika Selatan 3-2 di peringkat penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Jerman menjuarai SOJC 2023 selepas menewaskan Australia 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti.

India di tempat ketiga setelah menumpaskan Pakistan 6-5 dan Great Britain di tempat kelima apabila mengalahkan New Zealand 5-3. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sukan, Hoki, Subahan Kamal, Young Tigers, JWC, SOJC