[VIDEO] Konflik Palestin-Israel, 8 tahun lalu FAM pernah campur tangan urusan tukar venue


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara Palestin dan Malaysia pada 2015. — Agensi

ISU semasa yang berlaku di muka bumi Palestin dengan tentera Israel telah meruntun jiwa setiap insan bergelar manusia di muka bumi ini.

Peperangan itu telah menyebabkan banyak kematian berlaku termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas serta rakyat yang tidak bersalah.

Pembunuhan beramai-ramai dilakukan tentera Israel terhadap penduduk Gaza itu turut memberikan kesan kepada kejohanan Pestabola Merdeka yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan lalu.

Selain Tajikistan dan India, FAM turut menjemput Palestin untuk memeriahkan kejohanan tersebut, namun atas faktor isu semasa yang berlaku skuad kendalian Makram Daboub terpaksa menarik diri selepas tidak boleh ke luar negara.

Namun adakah anda tahu, lapan tahun lalu skuad kebangsaan nyaris beraksi bola sepak dalam peperangan sebelum FAM meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) campur tangan dalam urusan venue perlawanan.

Menerusi laporan The Star, ketika itu pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee menerusi FAM memohon menukar venue perlawanan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Palestin di Hebron ke gelanggang berkecuali.

Ia berikutan faktor keselamatan kesemua pemain-pemain serta staf yang membantu skuad Harimau Malaya.

Selain faktor keselamatan di negara bergolak itu, masalah untuk memasuki Palestin yang dikawal tentera Israel di pintu masuk sempadan juga bakal merumitkan keadaan.

Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Palestin ketika itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan FIFA kerana dianggap kurang adil.

Difahamkan, Palestin sanggup menyediakan penerbangan dari Amman, Jordan ke Ramallah, Palestin bagi mengelak masalah di sempadan.

Palestin juga menghantar surat bantahan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) meskipun mereka tidak dibenarkan membuat rayuan.

Pada pertemuan pertama Malaysia menentang Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Jun 2015, skuad kebangsaan yang dibimbing Dollah Salleh tewas 0-6.

Manakala pada pertemuan kedua yang berlangsung di Stadium Amman, Jordan pada 12 November 2015, Malaysia turut mencatatkan keputusan sama tewas dengan keputusan 0-6 meskipun ketika itu Kim Swee yang mengendalikan Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram