KELAB Brazil, Fluminense FC berjaya merangkul trofi pertama Copa Libertadores dalam sejarah sejak penubuhan pasukan itu selepas menundukkan gergasi Argentina, Boca Juniors 2-1 dalam perlawanan akhir kejohanan tertinggi benua Amerika Selatan pada awal pagi Ahad.
Boca Juniors yang dibarisi pemain bintang seperti Sergio Romero, Marcos Rojo, Dario Benedetto dan Edinson Cavani gagal menambah koleksi trofi Copa Libertadores selepas kali terakhir merangkulnya pada 2007.
Perlawanan yang dipenuhi kontroversi itu bermula hangatk disebabkan pergaduhan penyokong kedua-dua pasukan sebelum berlangsungnya kejohanan akhir itu.
Fluminense FC menerusi John Kennedy berjaya menjadi wira buat pasukannya selepas menjaringkan gol pada minit ke-99 sekali gus mengelakkan penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 sepanjang 90 minit permainan.
Dalam perlawanan itu, German Cano (Fluminense) berjaya mengejutkan Boca Juniors pada minit ke-36 sebelum Luis Advincula menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72 permainan.
Sedang rancak perlawanan berlangsung, lensa kamera berjaya merakamkan insiden pergaduhan kedua-dua pemain meskipun pasukan Fluminense sedang menyerang ke arah kubu pertahanan lawan.
Mereka berdua kelihatan bergelut untuk bangun selepas dihalang pemain Boca Juniors semasa Fluminense melakukan serangan balas untuk menambah jaringan gol.
Selain itu, pengadil juga bertindak melayangkan dua kad merah kepada Kennedy (Fluminense) dan Frank Fabra (Boca Juniors) selepas bintang Brazil itu meraikan jaringan kemenangan bersama penyokong selepas dia telah pun merekodkan satu kad kuning.
Manakala, Fabra pula bertindak menampar salah seorang pemain Fluminense yang mana pengadil tidak teragak-agak mengambil keputusan untuk melayangkan kad merah kepadanya sekali gus kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 orang sehingga wisel penamat ditiupkan.
Sebelum ini, Majoriti pernah melaporkan penyokong Boca Juniors dan Fluminense FC telah ditahan pihak polis selepas didakwa membaling botol ke arah pihak berkuasa semasa kedua-kedua peminat itu bergaduh di Pantai Copacabana, Brazil pada Khamis.
Kedua-dua penyokong itu bertempur di pantai tersebut sambil disaksikan berpuluh-puluh pengunjung sehingga mendapat perhatian pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram