[VIDEO] Pusing padang seorang, fans TFC risau status Liridon menjelang final Piala Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Liridon musim ini beraksi sebanyak 24 perlawanan bersama Sang Penyu. — Facebook/TFC

NAMA pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mula kembali menjadi sebutan penyokong-penyokong bola sepak tanah air selepas berjaya membantu Terengganu FC (TFC) layak ke pentas akhir Piala Malaysia 2023 baru-baru ini.

Liridon yang diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner untuk mengetuai jentera tengah TFC itu berjaya melakukan tugasnya dengan baik apabila jaringan dua gol Terengganu bermula dari pergerakannya.

Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini sering dikritik penyokong bola sepak tanah air kerana aksinya yang didakwa melambatkan tempo permainan pasukan.

Namun sejak akhir-akhir ini, Liridon diberikan kepercayaan oleh Tomislav untuk membarisi kesebelasan utama Terengganu bagi menggantikan Nurillo Tukhtasinov.

Berkongsi dalam media sosial, Liridon turut menzahirkan rasa gembiranya dengan berkongsi beberapa gambar serta video berlari, berpusing keseorangan di tengah-tengah padang.

"Kami dalam final, saya bangga dengan pasukan saya disebabkan kerja keras kami, dedikasi dan semangat sepasukan.

"Tidak lupa juga penyokong kami yang sangat hebat," katanya dalam Instagram.

Tetapi dalam kegembiraan Liridon meraikan kemenangan ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) itu, timbul rasa risau kalangan penyokong TFC kerana pemain kelahiran Kosovo tersebut mungkin tidak dapat beraksi dalam pentas akhir.

Ini kerana, Liridon adalah pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) yang mana sebelum ini bintang dari Harimau Selatan tidak dibenarkan beraksi menentang 'parents club' kerana status pinjaman.

Situasi ini mungkin sedikit sebanyak mengganggu perancangan Tomislav tatkala mereka dalam 'mood' yang baik untuk merangkul trofi kejohanan Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 2001.

Liridon sebelum ini beraksi untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Melaka United dan JDT sebelum dipinjamkan ke Newcastle Jets FC, Odisha FC dan Khon Kaen United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram