Tomi lulus tahun pertama, 'scorer' padu antara 3 formula TFC tampil lebih mantap musim depan


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

Terengganu FC kembali ke pentas akhir Piala Malaysia hasil bimbingan Steinbruckner. — Facebook/Terengganu FC

MUSIM pertama Tomislav Steinbruckner bersama-sama Terengganu FC kini menghampiri penghujungnya.

Pasukan-pasukan lain mungkin menjadikan perlawanan terakhir Liga Super sebagai penamat, tetapi bagi Steinbruckner serta Terengganu, mereka masih ada Piala Malaysia untuk diraih.

Pada awal musim, Steinbruckner bukanlah kegemaran penyokong Terengganu. Prestasi tidak menentu telah membuatkan namanya disebut-sebut supaya meninggalkan pasukan tersebut.

Namun kini, segalanya tampak semakin baik. Steinbruckner telah menemui formula untuk menstabilkan prestasi Terengganu. Walaupun begitu, masih lagi ada masa ruang untuknya membaiki pasukan pada musim depan.

Tahun ini boleh dikatakan lulus untuk Steinbruckner, tapi apa perlu dibuat pada musim depan? Analisis ringkas Majoriti akan menyenaraikan tiga perkara pengendali ini lakukan:

1. Tajamkan barisan serangan

Walaupun prestasi sudah semakin baik, tetapi Terengganu masih lagi mempunyai masalah iaitu dari sudut serangan. Penyudah tumpul menyebabkan Terengganu gagal menghasilkan gol.

Bermula daripada penyerang utama hinggalah pilihan terakhir, masalah ketumpulan ini masih ada dan ini amat merugikan kerana Terengganu sebuah pasukan yang kerap mencipta peluang.

399372083_323538480387593_8603349689469187323_n

Ivan Mamut mempunyai masalah ketumpulan penyudah. — Facebook/Terengganu FC

Oleh itu, Steinbruckner perlu mengambil langkah proaktif untuk menajamkan barisan serangannya. Sama ada memperkenalkan rejim latihan baharu atau cari penyerang import lebih berkaliber, semuanya terpulang kepada Steinbruckner.

Atau pun beri laluan kepada penyerang muda tempatan? Setakat ini Syahmi Zamri merupakan prospek cemerlang di posisi ini. Mungkin Steinbruckner boleh fokuskan untuk membangunkan bakatnya.

2. Pulihkan Rahadiazli

Sejak mengalami kecederaan serius di kepala satu ketika dulu, prestasi Rahadiazli Rahalim sudah mula menurun.

Prestasinya tidak lagi cemerlang seperti sebelum ini, malah penyokong lebih gemarkan Suhaimi Husin untuk mengawal pintu gol Terengganu.

383227291_303174152424026_3617171499589199974_n

Prestasi Rahadiazli menurun sejak mengalami kecederaan satu masa dulu. — Facebook/Terengganu FC

Oleh itu, Steinbruckner juga perlu menfokuskan usaha memulih prestasi Rahadiazli supaya dia boleh kembali mencabar posisi penjaga gol Terengganu dan Harimau Malaya.

Pemain ini mempunyai potensi yang besar, namun kecederaan merencatkan perjalanan kariernya. Bimbingan tepat daripada jurulatih boleh kembalikan prestasi Rahadiazli.

3. Buka laluan untuk pemain muda

Musim ini, Steinbruckner dipuji kerana berani untuk menurunkan barisan pertahanan yang dianggotai oleh semua pemain tempatan. Tindakan itu membuahkan hasil kerana berjaya membantu Terengganu ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Ini memberi isyarat Terengganu mempunyai ramai pemain muda berkaliber dan Steinbruckner bersedia untuk menurunkan mereka pada bila-bila masa.

399271121_323539217054186_2932434280069140051_n

Ubaidullah Shamsul antara pemain muda berbakat dalam skuad Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

Legasi ini perlu diteruskan, Steinbruckner dan pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar boleh melakukan perancangan untuk membina laluan untuk pemain berpotensi naik dari skuad simpanan ke pasukan utama.

Jika perancangan ini dapat dilakukan dengan baik, tidak mustahil Terengganu akan menjadi pasukan yang sentiasa mempunyai pemain muda berbakat yang akan berbakti kepada bola sepak negara.

Seandainya Terengganu bijak, mereka boleh memasarkan prospek mereka ke pasukan dalam dan luar negara. Skuad Penyu boleh menjana wang menerusi urus niaga perpindahan pemain.

Oleh itu, Steinbruckner dan Hairuddin boleh bergabung untuk mencipta kejayaan berpanjangan di Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram