RMS berkenan sampaikan ucaptama di ASEAN Youth Conference 2023


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

RMS berucap di depan 150 delegasi daripada 15 buah negara pada Jumaat. — Agensi

RAJA Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan untuk menyampaikan ucaptama bagi ASEAN Youth Conference 2023 di Jakarta, Indonesia.

Berucap di depan 150 delegasi daripada 15 negara, RMS menyampaikan ucapan bertajuk "Mencipta perubahan yang mampan untuk rantau ASEAN." Dalam ucapannya, RMS telah mengupas pelbagai perkara yang terjadi di rantau ini.

Persidangan itu diadakan selama tiga hari bermula Jumaat di Ibu Pejabat ASEAN Sekreteriat di Jakarta, Indonesia.

Antara yang dikupas oleh pemilik Selangor FC itu adalah berkenaan penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi, kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan belia, adaptasi teknologi sebagai pemangkin untuk kemajuan dan kemakmuran ASEAN serta peranan belia sebagai pemimpin dalam masyarakat.

"Untuk benar-benar mencungkil potensi belia di rantau ASEAN, kita mesti berusaha untuk mewujudkan ruang dan platform kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam penggubalan polisi dan pelaksanaan.

"Suara belia perlu didengar dan aspirasi mereka diterjemahkan kepada tindakan nyata. Hal ini menggalakkan kewarganegaraan aktif (active citizenship), di mana golongan muda bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah terlibat secara aktif dalam melakukan perubahan positif," kata RMS dalam ucapatamanya.

WhatsApp Image 2023-11-04 at 09.56.45

RMS menyampaikan ucaptamanya di ASEAN Youth Conference 2023. — Agensi

RMS berucap di hadapan delegasi daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Australia, Korea Selatan, Jerman dan lain-lain termasuklah Malaysia.

Selain daripada menyampaikan ucaptama, RMS turut berkenan untuk melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat ASEAN Sekreteriat serta bertemu dengan delegasi antarabangsa seperti Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Hal Ehwal Komuniti dan Korporat), Tran Duc Binh dan Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, Dr Piti Srisangnam.

RMS juga berkenan untuk bertemu dengan delegasi lain seperti Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datuk Nur Izzah Wong Mee Choo serta Presiden ASEAN Youth Organization iaitu Tuan Senjaya Mulia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram