PENGENDALI Kuala Lumpur (KL) City FC, Nenad Bacina berasakan yang gol Ivan Mamut pada separuh masa pertama telah membunuh perjuangan pasukannya untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-102.
Dalam aksi separuh akhir kedua antara KL City dan Terengganu FC, skuad Penyu melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasukan Lembah Klang 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.
Dua gol oleh Mamut membantu Terengganu layak menerusi agregat 4-2 untuk bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di perlawanan akhir pada 9 Disember.
Menurut Bacina, dia terpaksa mengubah nota catatannya pada rehat separuh masa selepas gol Mamut ketika minit ke-42 terhasil.
"Pada separuh masa pertama, kami rancang untuk pastikan kedudukan kekal tanpa jaringan jika kami tidak berjaya untuk dapatkan satu gol.
"Malangnya di penghujung babak pertama kami memboloskan gol hasil pantulan dari pemain kami. Di separuh masa kedua, kami membawa lebih ramai pemain menyerang dan bermain bermati-matian dan kami berjaya menyamakan kedudukan," kata Bacina.
Bacina berjaya membawa KL City sehingga separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook/KL City
Dalam masa yang sama, Bacina mengatakan yang dia melihat para pemainnya tidak mudah berputus asa walaupun semakin jauh ketinggalan.
Pengendali dari Croatia itu berkata, walaupun pasukannya mengalami pelbagai tekanan, tetapi permainan yang ditunjukkan tetap baik.
"Memang tugas semakin sukar apabila ketinggalan. Tetapi, ketika rehat separuh masa saya katakan kepada pemain jangan mudah putus asa kerana saya memang yakin kami akan dapat jaringkan gol.
"Saya minta mereka untuk kekal fokus kerana saya percaya kami akan dapat jaringkan gol. Kami berjaya lakukannya tetapi kemudiannya kami bolos sekali lagi," ujar Bacina.
Selepas gagal membawa pasukannya ke perlawanan akhir, Bacina mengharapkan Terengganu boleh memberikan saingan hebat kepada JDT kelak.
"Mereka berhak untuk ke perlawanan akhir. Saya doakan mereka berjaya dalam perlawanan menentang JDT.
"Saya rasa mereka ada kualiti untuk lakukan kejutan dan bertarung untuk dapatkan kejuaraan," komen Bacina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram