Keputusan final lawan JDT bukan ukuran, musim pertama Tomi kendali TFC dianggap berjaya


  • Podium
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Tomislav Steinbruckner berjaya membawa Terengganu FC ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023. — Facebook/Terengganu FC

PADA awal musim, tiada siapa yang menyangka Tomislav Steinbruckner akan berjaya memberikan impak positif kepada Terengganu FC.

Mana tidaknya, majoriti penyokong Terengganu berasa kecewa dengan keputusan kelab tidak meneruskan khidmat Nafuzi Zain dan melepaskannya ke Kedah Darul Aman FC.

Hadir dengan tekanan menggunung oleh penyokong, Steinbruckner hampir saja ditunjukkan pintu keluar kerana prestasi terumbang ambing.

Namun menuju ke penghujung musim, sedikit demi sedikit peningkatan prestasi ditonjolkan. Terengganu yang pada awal musim kelihatan goyah kelihatan semakin kukuh dan sukar ditumbangkan lawan.

Akhirnya, mereka berjaya sampai ke puncak apabila layak beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia dan akan bertemu Johor Darul Takzim (JDT).

Menentang jaguh bola sepak moden Malaysia sudah pastinya sukar. Walau apa jua keputusannya, Steinbruckner boleh berbangga dengan pencapaiannya menurut Irfan Bakti.

399151694_323521760389265_3906826539865658040_n

Suhaimi Husin dipanggil ke skuad Harimau Malaya ketika era Steinbruckner. — Facebook/Terengganu FC

Bekas pengendali Terengganu itu mengatakan yang jurulatih dari Croatia tersebut telah melakukannya dengan baik bagi musim pertamanya di Gong Badak.

"Apa yang Steinbruckner cuba lakukan adalah untuk membuktikan sesuatu kepada pasukannya. Melihat kepada peningkatan yang berlaku dalam pasukan, ia pasti menjadi kejayaan peribadi buatnya.

"Apa yang Steinbruckner lakukan di Terengganu membuahkan hasil. Saya boleh kata dia telah lulus tahun pertamanya di Terengganu," kata Irfan kepada Majoriti.

Melihat kepada peningkatan pasukan terutamanya di fasa akhir musim Liga Super, Irfan menganggap jika Steinbruckner tidak berjaya membawa pulang Piala Malaysia pun tidak mengapa.

Hal ini kerana, dia mungkin kalah perlawanan akhir, tetapi kejayaan menstabilkan prestasi pasukan sesuatu yang perlu diberikan pujian.

"Menentang JDT di perlawanan akhir nanti tentu sukar, tetapi Terengganu masih boleh memberikan saingan.

“Tak kisah apa pun keputusannya di perlawanan akhir nanti. Musim ini adalah satu kejayaan yang manis buat Steinbruckner dan Terengganu dari segi pencapaian,” ujar Irfan.

398229213_323521970389244_2654834212212576529_n

Syahmi Zamri antara pemain muda yang menyinar bersama Steinbruckner. — Facebook/Terengganu FC

Irfan juga memuji tindakan Steinbruckner memainkan kesemua pemain tempatan dan masih berjaya mara ke perlawanan akhir.

Ketika aksi kedua separuh akhir bertemu Kuala Lumpur City FC, Steinbruckner menurunkan Azam Azmi, Shahrul Nizam, Ubaidullah Shamsul serta Alif Zakaria di bahagian pertahanan.

“Apa yang Steinbruckner lakukan ini adalah kebetulan, pasukan tetap perlukan pemain import untuk kekuatan pasukan.

“Akan tetapi, apa yang dilakukannya itu membuka mata kepada pasukan lain. Steinbruckner telah buktikan yang dia boleh bawa pasukan ke perlawanan akhir gunakan pemain tempatan,” ulas Irfan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram