KALENDAR Liga Super 2023 yang sudah semakin menghampiri penutupnya menandakan jendela perpindahan liga akan dibuka tidak lama lagi.
Perkara itu sekali gus mendesak pihak pengurusan kelab untuk membuat perancangan awal mengenai pemain yang bakal disingkirkan atau mahu dibawa masuk kelak.
Hal tersebut turut menyebabkan semakin ramai pihak menimbulkan gosip perpindahan dengan niat hanya untuk menaikkan lagi debaran peminat bola sepak tanah air.
Beberapa minggu kebelakangan ini, heboh diperkatakan di media sosial bahawa bintang-bintang Liga Super sedang dikaitkan dengan penghijrahan ke Liga 1 Indonesia.
Pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo dan bek tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco merupakan antara yang dikaitkan.
Giancarlo dikatakan sudah menarik minat kelab Liga 1 Indonesia baru-baru ini.
Namun, baru-baru ini, timbul khabar angin baharu mengatakan kapten Sri Pahang FC, Sergio Aguero turut dikaitkan dengan perpindahan ke negara jiran.
Kebolehannya sepanjang enam musim dalam Liga Super sememangnya sukar dipandang rendah dengan pemain naturalisasi negara itu pernah mewakili beberapa pasukan tempatan, seperti Perak FA dan skuad Tok Gajah.
Di samping itu, Aguero juga memiliki keistimewaan sendiri apabila boleh beraksi dalam pelbagai posisi meskipun lebih sinonim sebagai perancang.
Jadi, tidak hairanlah apabila kelab Liga 1 Indonesia mula menaruh minat terhadap pemain berusia 29 tahun berkenaan dengan Persija Jakarta dikatakan sebagai sasaran utama.
Bagaimanapun, dalam satu perkembangan baharu, Aguero difahamkan memilih untuk memberi tumpuan penuh bersama pasukannya menurut ciapan wartawan tempatan, T Avineshwaran.
Aguero boleh dilabel sebagai tonggak utama skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
"Perancang Sri Pahang FC, Sergio Aguero dikatakan antara yang menarik minat daripada pelbagai kelab Indonesia dengan salah satunya merupakan Persija Jakarta.
"Tetapi, pemain tersebut difahamkan mahu memberi tumpuan penuh buat pasukannya dalam usaha mereka menamatkan saingan di kedudukan lebih baik," tulisnya.
Musim ini, pemain berkenaan menjadi watak utama buat skuad Tok Gajah apabila menjaringkan lima gol dan tiga bantuan jaringan dalam 11 penampilan Liga Super.
Sumbangannya itu membantu pasukan Pantai Timur tersebut untuk menduduki tangga keempat liga dengan mereka masih berpeluang menutup musim dalam kelompok tiga pasukan teratas.
Walaupun berdepan beberapa siri kecederaan, kredibiliti Aguero cukup diperlukan dengan tahun-tahun permainannya menaikkannya sebagai antara pemain paling berpengaruh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram