SUASANA meraihkan jaringan gol bertukar tegang apabila seorang pemain secara tiba-tiba diserang oleh seorang penyokong misteri yang hadir ke perlawanan bola sepak amatur antara MDJ FC dan Rang Hill di Jerantut, Pahang pada Jumaat.
Difahamkan, ia berlaku ketika perlawanan separuh akhir Piala FA Jerantut 2023, yang mana pastinya kedua-dua pasukan memberikan permainan sebaik mungkin untuk mendapatkan slot ke peringkat final saingan berkenaan.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 38 saat yang tular di media sosial sejak Jumaat itu menyaksikan seorang pemain pasukan MDJ FC disiku penonton ketika dia meraikan jaringan gol dalam perlawanan tersebut.
Pada awalnya, pemain berkenaan gembira dengan jaringan yang dicetaknya sehingga berlari ke kawasan luar padang untuk meraikan dengan penyokong sebelum penyokong berkenaan secara tiba-tiba bangun dari tempat duduk lalu menyerangnya.
Pemain bola sepak amatur disiku penyokong ketika dia meraihkan jaringan gol. Kejadian difahamkan berlaku di Jerantut, Pahang. pic.twitter.com/Lq4EIssH7u
— Majoriti (@majoritionline) November 4, 2023
Selepas insiden tersebut berlaku, pengadil dan rakan sepasukan dari MDJ FC juga turut datang menyelamatkan pemain berkenaan, sementara penyokong tersebut diminta untuk kembali ke tempat duduknya.
Berdasarkan semakan Majoriti, masih tiada sebarang kenyataan daripada kedua-dua pasukan dan pihak penganjur turut tidak tampil memberi sebarang penjelasan mengenai insiden berkenaan.
Pada masa sama, turut tidak dapat dipastikan sama ada penyokong terbabit merupakan penyokong MDJ FC ataupun penyokong lawan.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan MDJ dengan keputusan menang 3-1 ke atas Rang Hill.
Untuk rekod, ini bukan pertama kali insiden yang tidak diingini berlaku dalam saingan Liga Jerantut berikutan baru-baru ini seorang pemain telah bertindak menyerang pengadil dengan menendangnya.
Ketika sedang mengadili perlawanan melibatkan Rang Hill FC dan Tembeling United FC, mangsa iaitu Hafizi Zakaria telah diserang oleh pemain salah sebuah pasukan tersebut.
Hafizi mengatakan yang dia diserang oleh tiga pemain Tembeling United kerana mereka didakwa tidak berpuas hati dengan keputusannya yang bertugas sebagai pengadil perlawanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram