KL Derby musuh baharu kelab Liga Super?


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Kuala Lumpur Rovers merupakan naib juara Liga M3 2023. — Facebook/KL Rovers

KELAB Lembah Klang, Kuala Lumpur (KL) City FC, sekali lagi terpalit dengan isu kewangan yang menyebabkan pemain-pemain mereka tidak menerima gaji.

Tunggakan yang dilaporkan oleh hampir empat bulan itu dinafikan oleh Presiden Kuala Lumpur FA iaitu Khalid Samad, namun ia sudah terlambat untuk melindungi rahsia yang semua orang tahu.

Situasi KL City ini secara tidak langsung dilihat menarik kerana terdapat sebuah pasukan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) berpotensi bermain di Liga Super tahun depan.

Jika mereka berjaya naik ke Liga Super, pasti akan menjadi ancaman kepada KL City. Tetapi bagaimana?

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan saksikan apa akan terjadi sekiranya KL Rovers berjaya mara ke Liga Super musim depan:

1. KL City ada musuh baharu

KL Rovers berpotensi untuk naik ke Liga Super berdasarkan status naib juara Liga M3 musim ini. Akan tetapi, mereka perlu melepasi perlawanan play-off dengan pasukan di tangga kedua tercorot Liga Super serta lepas syarat pelesenan kelab untuk layak bertanding.

Jika melepasi dua halangan itu, KL Rovers dilihat bakal menjadi satu lagi musuh baharu KL City di Lembah Klang. Setakat ini, skuad Warga Kota sudah mempunyai Selangor FC sebagai musuh utama selain PDRM FC yang turut berpangkalan di kawasan sama.

387774819_795614039234699_1837764349061550526_n

KL Rovers pernah memimpin carta Liga M3 selama 11 minggu. — Facebook/KL Rovers

Tetapi KL Rovers dilihat lebih menarik kerana mereka 'berdarah' Kuala Lumpur. Oleh itu, perbandingan terus atau direct comparison akan dilakukan pemerhati dan penyokong terhadap dua kelab ini.

Perbandingan ini akan menjadi sakit sekiranya KL City masih di takuk lama dari segi pengurusan sementara KL Rovers bertindak lebih baik dalam menguruskan perbelanjaan mereka.

2. Pemain boleh lari

Jika situasi di KL City berterusan dan tiada tanda-tanda akan pulih, ini akan membuka peluang kepada pemain-pemain mereka pergi berhijrah ke pasukan lain.

KL Rovers boleh menjadi salah satu daripada destinasi tersebut. Walaupun pasukannya lebih kecil dan belanjanya tidak begitu besar, tetapi kestabilan dari segi pembayaran gaji mungkin boleh membuatkan pemain ingin beraksi bersama mereka.

396378391_18238863292237328_6223545209878649560_n

Giancarlo antara pemain yang sudah sebati dengan bandar Kuala Lumpur. — Facebook/KL City

Ditambah pula dengan lokasi mereka di Kuala Lumpur. Jadi, pemain seperti Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue, Romel Morales dan Zhafri Yahya yang sudah biasa dengan ibu kota boleh memilih untuk kekal saja di sini tetapi bersama-sama KL Rovers.

Oleh itu, KL City harus menjaga kebajikan pemain dengan baik. Jika tidak, mereka akan mengalami masalah kelak.

3. Kelahiran KL Derby

Bola sepak Malaysia tidak mempunyai begitu banyak perlawanan melibatkan musuh setempat atau derby. Kita cuma mempunyai Derbi Pantai Timur (Terengganu-Kelantan-Sri Pahang), Derbi Utara (Kedah Darul Aman-Penang-Perak) dan Derbi Lembah Klang (Selangor-KL City).

Dengan kemunculan KL Rovers di Liga Super akan menghasilkan permusuhan baharu iaitu Derbi Kuala Lumpur atau KL Derby melibatkan mereka dan KL City.

Ini pastinya akan menambah rencah kepada bola sepak Malaysia apabila timbul satu lagi permusuhan antara dua kelab yang berada di tengah-tengah ibu kota.

Ia mungkin tidaklah sepanas Derbi Lembah Klang atau Derbi Utara, tetapi ia pasti menimbulkan keterujaan kepada semua yang mengikuti Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram