Tak tinggal pelajaran, atlet kebangsaan MLBB kongsi tip jadi pemain pro e-Sukan


  • eSports
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Dibo antara atlet muda e-Sukan yang sedang meningkat naik di dalam negara.

DUNIA e-Sukan kini semakin mendapat perhatian anak muda sehinggakan menjadi satu ikutan bagi mereka untuk bergelar 'gamers' sepenuh masa.

Namun, realiti di sebalik kejayaan seseorang individu dalam dunia 'gaming' memerlukan dedikasi yang tinggi dengan penuh minat dan kesabaran.

Bagi menceburi bidang e-Sukan, individu tersebut haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal serta bertemankan ilmu bagi merealisasikan impian menjadi 'gamers' yang berjaya.

Dibo

Dibo bersama pingat gangsa.

Bercakap kepada Majoriti, atlet kebangsaan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Wan Nur Adibah Humairah atau lebih dikenali Dibo berkongsi perkara pertama yang perlu dilakukan jika ingin menjadi pemain profesional dalam dunia e-Sukan.

"Perkara yang wajib disediakan oleh seorang pemain amatur untuk bergerak secara profesional ialah perlu ada 'device' dan Wi-Fi yang bagus untuk berlatih.

"Anda juga perlu pasukan yang mempunyai semangat sama untuk menggapai impian menjadi pemain e-Sukan yang profesional," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, untuk menjadi pemain e-Sukan yang berjaya memerlukan disiplin tinggi bagi membahagikan masa dengan bijak untuk latihan dan pembelajaran.

"Sekiranya terdapat kejohanan, ia memerlukan minimum lima hingga enam jam sehari untuk bersama pasukan.

"Bagi latihan individu ia boleh ditambah bergantung kepada diri masing-masing.

"Jika anda seorang pelajar, hanya fokus melakukan latihan pada waktu malam supaya di pagi hari anda dapat fokus dengan pembelajaran," ujarnya.

Individu yang ingin bergelar pemain e-Sukan berjaya perlu menitikberatkan beberapa aspek termasuk pelajaran.

Menurut Dibo, banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk menjadi pemain profesional e-Sukan.

"Pengorbanan yang perlu dilakukan pemain e-Sukan untuk berjaya ialah kurangnya masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

"Kerana kebiasaannya sebagai 'pro player' anda akan diberi cuti sehari dalam seminggu untuk berlatih.

"Tip untuk mencari rakan sepasukan yang baik boleh bermula fokus praktis mekanik sendiri untuk 'push' ranking sesuatu permainan.

"Kemudian boleh cuba untuk 'join try out' mana-mana pasukan yang menyediakan platform ke arah pemain profesional," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram