Xorn dalam senarai 3 star tumpuan aksi MPL MY 12


  • eSports
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Xorn merupakan antara pemain yang akan diberikan perhatian untuk musim baharu MPL MY. — Agensi

SAINGAN Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL MY) musim ke-12 membuka tirainya pada Jumaat dengan dua pasukan, Team SMG dan Todak berentap.

Perlawanan itu menyaksikan Todak yang merupakan bekas juara musim lalu tewas dengan keputusan 2-1 dengan pemain Team SMG, Saxa dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Aksi tersebut seakan-akan memberi gambaran mengenai kehangatan MPL MY kali ini memandangkan Todak merupakan pasukan pilihan.

Manakan tidak, kehadiran bintang-bintang dalam dunia eSports dalam pasukan itu sudah cukup untuk meletakkan mereka sebagai juara untuk musim kedua berturut-turut.

Namun, kekalahan itu dilihat berpunca daripada ketiadaan bekas tonggak mereka, Moon yang memilih untuk berehat seketika untuk MPL MY kali ini.

Dia yang boleh diangkat sebagai legenda MLBB tanah air cukup terkenal dengan peranannya sebagai seorang 'Mage' dalam kalangan pemain seluruh negara.

Ketiadaannya dijangka memberi kesan terhadap penonton untuk setiap perlawanan memandangkan orang ramai cukup tertarik setiap kali Moon berada dalam barisan utama apabila mereka akan cuba untuk memahami gerakannya.

Jadi, memandangkan pemain berusia 24 tahun itu dijangka tidak mewarnai kaca televisyen musim ini, Majoriti memilih untuk menyenaraikan tiga individu lain yang dilihat akan memeriahkan suasana MPL MY kali ini.

1. Ciku (Todak)

Muhammad Danial Mohamad Fuad, atau lebih dikenali sebagai CikuGais boleh dilihat sebagai bintang ternama dalam MLBB negara beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia yang cukup cemerlang dalam kesemua peranan, terutamanya di posisi 'gold lane' atau 'Jungler' menaikkan namanya sebagai tonggak buat pasukan Todak.

MPL-MY-S10-MEDIA-DAY-STATION-A-PHOTOSHOOT-Day-3_CIKUGAIS8662-1-e1661591549489

CikuGais memilih untuk terus setia bersama Todak musim ini. Agensi

Malah, kecemerlangannya turut membolehkan pasukan tersebut merangkul dua Kejohanan MPL MY pada musim lalu serta pada musim kesembilan selain MPL MY/SG pada musim keenam.

Tambahan pula, CikuGais turut diberikan membantu pasukan negara merangkul pingat perak ketika Sukan SEA baru-baru ini.

Kini, dia yang baru sahaja berusia 21 tahun dijangka memainkan peranan penting sekali lagi ketika kempen MPL MY 12 dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan.

2. Xorn (Homebois)

Legenda dalam MLBB MY, Mohammad Zul Hisham Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Xorn tidak perlu lagi diperkenalkan kepada orang ramai.

Selepas membantu Geek Fam untuk beberapa musim, atlet esports berusia 23 tahun berkenaan memilih untuk menyertai HomeBois kali ini.

WhatsApp Image 2023-08-18 at 22.07.05

Xorn memilih untuk angin baharu apabila menyertai HomeBois untuk MPL MY 12. Agensi

Penghijrahan itu dibuat bagi membolehkan pasukan terbabit menjuarai MPL MY buat pertama kali dalam sejarah mereka sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

Kebolehan Xorn sememangnya tidak boleh dipersoalkan lagi, lebih-lebih lagi sekiranya dia diberikan hero kegemarannya, Chou dalam peranan 'roamer'.

Pengalamannya juga memberikan satu sebab buat HomeBois untuk menagih khidmatnya memandangkan dia merupakan satu-satunya pemain yang aktif sejak musim yang pertama.

3. Feekz (Homebois)

Selepas berehat untuk kira-kira setahun daripada bermain secara profesional untuk fokus dalam bidang penstriman, Feekz memilih untuk kembali mewarnai MPL MY musim ke-12.

Feekz, atau nama sebenarnya Amirul Shafiq Mohd Amir memulakan kariernya pada 2018 bersama Geek Fam kekal bersama pasukan berkenaan untuk beberapa musim.

WhatsApp Image 2023-08-18 at 22.03.24

Feekz lebih dikenali ketika beberapa musim bersama Geek Fam. Agensi

Meskipun tidak pernah menjuarai sebarang pertandingan itu, pemain berusia 28 tahun terbabit amat dikenali ramai sepanjang tahun-tahun penglibatannya.

Dia yang cukup dikenali dengan peranan seorang 'jungler' amat terkenal dengan personalitinya yang kecoh ketika bermain untuk mengganggu moral lawan.

Kini, dengan HomeBois memiliki bintang-bintang baharu dan berpengalaman, kepulangan Feekz pastinya akan dinanti-nantikan untuk MPL MY 12. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram