MALAYSIA tidak terkecuali daripada melahirkan atlet-atlet e-Sukan bertaraf dunia yang mampu membawa cabaran serta kejayaan.
Pelbagai kejayaan yang diperoleh daripada atlet-atlet terbabit sekali gus menunjukkan betapa industri e-Sukan di negara turut berkembang pesat.
Atlet e-Sukan negara, Mohamad NorHaikal Mohamad Noh berkata, aktiviti bermain permainan video pada awalnya, yang disangka hanyalah untuk meluangkan masa terluang atau suka-suka kini menempatkan namanya antara atlet e-Sukan terhebat dunia.
Menurut Haikal, semuanya bermula dengan beberapa kejohanan kecil persendirian sebelum dia melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi menjadi seorang pemain profesional.
"Pada awalnya hanya suka-suka dan hanya hobi tapi bila selalu main, kawan-kawan ajak menyertai pertandingan dan pusing satu Malaysia untuk mencari pertandingan permainan video ini.
"Hasil pengalaman, dari situ saya menjadi pemain profesional pada 2018 sehingga sekarang termasuk mewakili pasukan Johor dan negara," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dorongan daripada keluarga juga amat membantunya untuk terus berkecimpung di dalam sukan tersebut.
Haikal pernah dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia bagi permainan e-Football 2023.
"Pada awalnya keluarga memang tidak menyokong sebab seperti semua maklum, permainan video ini dipandang negatif.
"Saya ambil peluang yang ada cuba buktikan pada mereka ia bukan sia-sia, dan saya berjaya, bila saya balik bawa kejayaan mereka pun terus menyokong kerjaya saya ini.
"Saya sentiasa ambil kata-kata negatif keluarga saya satu semangat untuk saya buktikan kepada mereka yang main permainan video ini ada masa hadapan, syukur Alhamdulillah sekarang keluarga saya amat memahami dan sokong apa sahaja yang saya lakukan," jelasnya.
Sepanjang menceburi bidang ini, banyak kejohanan yang dimenanginya termasuk memenangi emas Kejohanan e-Sukan Komanwel (CEC) 2022 di Birmingham, England, serta menjadi pemain ranking nombor satu dunia sukan Divisyen 1 eFootball 2023.
Bagaimanapun, Haikal menegaskan bidang e-Sukan di negara perlu lebih banyak pendedahan kerana banyak bakat-bakat muda yang tidak diketengahkan atau tiada ruang serta platform yang betul.
"Pada pandangan saya bidang ini harus diberikan lebih fokus kerana ia merupakan satu aset untuk di masa akan datang dan harus disamakan dengan sukan sukan-sukan lain.
Dibo antara atlet muda e-Sukan yang sedang meningkat naik di dalam negara.
Sementara itu, atlet e-Sukan wanita Malaysia, Wan Nur Adibah Humairah atau lebih dikenali sebagai Dibo berkata, dia yang bermain Mobile Legends (ML) sejak 2016, terkejut apabila dipilih untuk mewakili negara ke Temasya Sukan SEA Kemboja yang lalu.
"Pada mulanya, saya hanya mahu mencuba sahaja, bila ada kelayakan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan ML, namun tidak pernah menyangka terpilih.
"Saya sangat terkejut, siapa sangka, hanya bermain ML sahaja dapat mewakili negara ke Temasya Sukan SEA," katanya pada Majoriti.
Menurutnya, keluarganya juga memberikan dorongan semangat untuk terus melakar nama di dalam bidang e-Sukan.
"Pada mulanya, ibu bapa saya kurang minat melihat saya menghabiskan masa bermain permainan video ini.
"Namun, lama-lama mereka beri sokongan kepada saya, malah bila sudah mewakili negara ini, mereka berbangga dengan pencapaian saya," ujarnya.
Dibo turut menyatakan harapannya agar lebih banyak kejohanan Mobile Legends dianjurkan khas untuk wanita sahaja.
"Kejohanan itu penting bagi menyaingi industri e-Sukan yang sedang berkembang pesat terutamanya di negara jiran, Indonesia.
"Saya rasa perlu ada sistem pengurusan seperti di Indonesia yang boleh melatih pemain-pemain ke tahap lebih tinggi.
“Jurang persaingan ini boleh didekatkan sekiranya ada lebih banyak kejohanan untuk wanita saja di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) perempuan Malaysia berjaya membawa pulang pingat gangsa di Sukan SEA 2023 untuk negara.
Pasukan MLBB Perempuan diwakili Nurul Effa Fauzana Mohd Fauzi, Vanessa Natasha Abdullah, Hanis Wahidah Mohamad Dashuki, Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi, Wan Nur Adibah Humairah Wan Hamidon, Nur Afrina Syuhada Ahmad Shaltut dan Anatasha Norman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,