GMY Kespoc muncul juara MLBB State, kejohanan e-sports HSN terima sambutan ramai


  • eSports
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Antara pasukan yang menyertai kejohanan MLBB State yang dianjurkan sempena sambutan HSN 2023.

PASUKAN GamesMY (GMY) Kespoc dari Kelantan muncul juara kejohanan MLBB State yang dianjurkan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 selepas menewaskan wakil dari Johor baru-baru ini.

GMY Kespoc yang dibarisi Wan Aidil Hakim Din, Wan Aidil Amin Wan Azhar, Muhammad Azrul Izani, Ahmad Zaim Faezi Fauzi dan Muhd Hakimi Ramzi Muhd Mahyudin membawa pulang trofi, medal, enam headset jenama Iinvictor dan wang tunai bernilai RM5,000.

Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan Johor yang membawa pulang medal dan wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan dari Sabah yang menerima medal dan wang tunai RM2,000, sementara tempat keempat membawa pulang wang tunai RM1,000 milik pasukan dari Labuan.

Penolong Pengarah Unit Esports Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan selaku wakil penganjur, Rafidah Abu Bakar menyifatkan penganjuran kejohanan e-sports sempena HSN tahun ini sangat meriah dan signifikan.

F8fHTena0AAl4s_

GMY Kespoc dari Kelantan muncul juara kejohanan MLBB State yang dianjurkan sempena sambutan HSN 2023.

Ia susulan penglibatan peserta yang sangat menggalakkan dalam semua acara yang dipertandingkan termasuk peserta dari luar negara yang turut mengambil bahagian.

“Ini membuktikan sukan e-sports semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan dan Malaysia menjadi tumpuan negara luar dalam kejohanan e-sukan.

“Tahun ini merupakan penganjuran HSN kali kelapan dan merupakan penganjuran kali kelima bagi kejohanan e-sports HSN.

"Kelainan yang kami cuba bawakan pada tahun ini adalah melalui penglibatan lapan negara Asean untuk kategori e-football yang mana tujuannya adalah untuk mempromosikan HSN ke peringkat antarabangsa selain membantu pembangunan e-sports negara.

"Saya mengharapkan semua yang terlibat sepanjang kejohanan ini dapat pengalaman baharu serta menambah rangkaian dalam dunia e-sports untuk mereka lebih maju pada masa akan datang.

"Saya juga mengharapkan pada tahun depan kita akan teruskan lagi inisiatif ini bukan sahaja untuk e-sports, malah untuk sukan yang lain juga,” katanya.

Turut dipertandingkan dalam kejohanan itu adalah acara e-Football, PUBG, MLBB dan e-Football Asean. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram