DALAM perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia, Syafiq Ahmad tampil menjadi watak utama apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Johor Darul Takzim (JDT) membenam Perak FC 8-1 di laman sendiri.
Kedua-dua jaringan tersebut mempamerkan bahawa pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu masih mempunyai deria penyudah cukup baik.
Malah, pemain berusia 28 tahun tersebut juga tidak perlu menunggu lama untuk mencetak jaringan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor apabila dia hanya dimasukkan pada minit ke-57 permainan.
Sumbangannya itu juga cukup diraikan ribuan penyokong di stadium terbabit yang pastinya cukup merindui kelibatnya untuk beraksi dengan lebih kerap.
Kepulangan Syafiq Ahmad bersama Harimau Malaya cukup dialu-alukan. — Facebook/FAM
Pujian turut diberikan di media sosial apabila rata-rata peminat bola sepak tanah air meletakkan harapan agar Syafiq dapat kembali ke dalam skuad kebangsaan setelah hampir setahun 'dibekukan'.
Bagi sesetengah pihak, ketiadaannya bersama Harimau Malaya berpunca daripada kesukaran pengendali pasukan, Kim Pan-gon untuk menilai kebolehannya akibat kekurangan minit permainan bersama JDT.
Namun, dua gol ketika berdepan Perak FC itu sedikit sebanyak membuktikan bahawa penyerang berkenaan masih mempunyai kualiti bersama skuad kebangsaan.
Tetapi, adakah sumbangan tersebut sudah cukup untuk membuka mata Pan-gon bagi memberikannya peluang bersama Harimau Malaya dalam aksi antarabangsa terdekat ini?
Melihat kepada situasi semasa, Majoriti akan menyenaraikan beberapa kelebihan (pro) dan kekurangan (cons) sekiranya Syafiq kembali hadir memperkuatkan Harimau Malaya.
Pro
1. Selesaikan isu kekurangan penyerang
Dalam beberapa perlawanan antarabangsa tahun ini, Pan-gon jelas bergelut dengan kekurangan pilihan untuk posisi penyerang sehingga terpaksa memberikan peranan itu kepada pemain kurang sesuai.
Tonggak Sabah FC, Darren Lok merupakan satu-satunya sandaran tulen buat pasukan kebangsaan dengan kehadiran pemain itu cukup didambakan untuk setiap hari perlawanan.
Namun, sekiranya pemain warisan terbabit bergelut atau mengalami kecederaan, Pan-gon boleh dikatakan terpaksa menggunakan alternatif cukup berbeza.
Darren Lok merupakan penyerang terbaik dimiliki negara ketika ini.
Kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue dan pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero merupakan antara yang kerap diturunkan sebagai penyerang dengan memikul peranan 'false 9'.
Meskipun pendekatan itu sering membuahkan hasil, masih terdapat beberapa perlawanan yang menyaksikan mereka bergelut, lebih-lebih lagi sekiranya berdepan lawan lebih berkualiti.
Jadi, sekiranya Pan-gon mahu menyelesaikan kegusaran berkenaan, peluang seharusnya diberikan kepada Syafiq yang merupakan seorang penyerang tulen berkualiti ketika ini.
2. Pengalaman beraksi di pentas tertinggi
Salah satu kelebihan yang dapat diraih pemain di JDT beberapa musim kebelakangan ini adalah apabila mereka berpeluang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Pertandingan eksklusif itu hanya disertai kelab-kelab ternama sekitar Asia dengan hanya pemain terbaik akan diturunkan bagi setiap perlawanan.
Kelebihan tersebut sememangnya sukar ditolak apabila ia akan menaikkan lagi reputasi mereka selain menjadi medan untuk menilai tahap kebolehan masing-masing.
Syafiq (kiri) mempunyai rekod jaringan baik di pentas ACL bersama JDT. — Twitter/ACL
Pengalaman itu sememangnya kerap diraih Syafiq meskipun dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan bagi memberi laluan buat penyerang import seperti Heberty Fernandes dan Bergson da Silva.
Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk mengatakan bekas pemain Kedah FA itu tidak menerima sebarang pengalaman sepanjang bersama JDT apabila dia pernah menjaringkan gol dalam pertandingan terbabit.
Jadi, sekiranya Pan-gon kembali melihat kebolehan Syafiq, pendedahannya di pentas Asia pastinya akan dinilai, lebih-lebih lagi apabila Harimau Malaya bakal bersaing dalam Piala Asia tidak lama lagi.
Selain itu, pengalaman Syafiq bersama skuad kebangsaan juga tidak boleh dipertikaikan apabila rekod jaringannya adalah cukup baik dengan dia juga merupakan pemain yang membantu pasukan negara layak ke Piala Asia sebelum ini.
Cons
1. Menyekat proses naturalisasi Romel Morales
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ura-ura mengatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang dalam usaha memberi status naturalisasi buat penyerang KL City FC, Romel Morales.
Ia sememangnya satu langkah yang disokong ramai memandangkan isu ketandusan penyerang terus menghantui pasukan negara seperti mana dibincangkan di atas.
Tetapi, proses tersebut dilihat cukup sukar dengan masih tiada perkembangan dikongsikan badan induk bola sepak negara itu mahupun kelabnya sendiri.
Romel disebut-sebut sebagai calon naturalisasi baharu buat skuad kebangsaan. — Facebook/Kuala Lumpur City
Sekiranya Syafiq diberikan peluang dan mengambilnya dengan baik, peluang untuk pemain kelahiran Colombia berkenaan untuk dinaturalisasikan dilihat akan menjadi lebih tipis.
Meskipun kehadiran Romel tidak menjanjikan anjakan cukup hebat, usianya yang baru sahaja berusia 26 tahun akan memberi kelebihan buat Harimau Malaya untuk jangka masa panjang.
Namun, persoalannya, adakah langkah untuk meletakkan tonggak KL City FC itu perlu disokong memandangkan pulangan jaringan pemain berkenaan kian menyurut saban musim.
2. Minit permainan memecahkan pandangan khalayak
Sebelum ini, heboh diperkatakan bahawa seorang pemain perlu menerima minit permainan mencukupi sekiranya mahu diberikan peluang dalam skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, pandangan itu pantas ditepis apabila penyerang sayap JDT, Akhyar Rashid masih boleh mempamerkan kebolehan meskipun jarang diturunkan di peringkat kelab.
Perkara berkenaan sememangnya hangat diperkatakan dengan beberapa pihak melihat pendekatan sebegitu tidak adil bagi seorang pemain yang kerap mengerah keringat dalam Liga Super.
Akhyar turut berdepan isu kekurangan minit permainan di peringkat kelab. — Facebook/FAM
Selain itu, kekurangan minit permainan juga dianggap sebagai satu cabaran buat Pan-gon untuk memilih kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.
Jika Syafiq terus 'diperam' di bangku simpanan JDT, adakah kemasukannya ke dalam kem skuad kebangsaan akan menimbulkan satu lagi perdebatan hangat di media sosial?
Sekiranya ya, situasi tersebut hanya akan menyebabkan sokongan terhadap Harimau Malaya berbelah bahagi apabila masing-masing akan mempersoalkan pendekatan Pan-gon.
3. Minit permainan Syafiq di JDT terus terjejas
Salah satu cara terbaik untuk menambat hati Pan-gon supaya diberikan peluang bersama skuad kebangsaan adalah dengan meraih minit permainan bersama kelab masing-masing.
Perkara itu akan memberikan ruang buat jurulatih tersebut untuk membuat penilaian bagi memastikan kesesuaian seseorang dalam pasukan negara.
Dalam konteks Syafiq, peluangnya yang kurang bersama JDT tidak menghalang penyerang berkenaan untuk memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan sekali-sekala.
Adakah Syafiq sudah bersedia untuk kembali mengemudi jentera serangan Harimau Malaya? — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, sekiranya perkara itu diteruskan, minit permainannya akan kian merosot dengan tanggapan bahawa pemain itu akan diberikan peluang setiap kali perlawanan antarabangsa.
Tambahan pula, skuad Harimau Selatan yang dilengkapi pemain serba lengkap menyaksikan harapan tidak diletakkan di bahunya dengan kerap apabila pengendali pasukan, Esteban Solari masih mempunyai lambakan pilihan.
Situasi itu akan memberi kesan jangka masa panjang buat Syafiq apabila terdapat kemungkinan kariernya akan terkubur gara-gara minit permainan yang tidak mencukupi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram