KETANDUSAN penyerang tulen dalam skuad kebangsaan ketika ini cukup membimbangkan apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon hanya memiliki Darren Lok sebagai pilihan utama.
Meskipun boleh menurunkan Syafiq Ahmad atau Haqimi Azim Rosli, jurulatih kelahiran Korea Selatan berkenaan dilihat tidak menggemari pilihan sedia ada itu.
Kekurangan minit permainan Syafiq serta pengalaman tidak mencukupi bagi Haqimi boleh dikatakan sebagai punca atas sebab mereka kurang dibawa ke kem latihan pasukan negara.
Situasi tersebut memaksa Pan-gon untuk meletakkan pemain naturalisasi, Sergio Aguero untuk beraksi sebagai penyerang utama dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Tetapi, harapan yang diletakkan di bahu kapten Sri Pahang FC berkenaan tidak membuahkan hasil seperti mana diharapkan apabila dia berdepan kemarau gol.
Pan-gon pastinya runsing dengan isu kekurangan pilihan penyerang dalam skuad kebangsaan ketika ini. — Facebook/FAM
Jadi, untuk menyelesaikan isu terbabit, peminat bola sepak negara menyarankan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi status naturalisasi kepada pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales.
Selain sudah melengkapi syarat lima tahun berada dalam negara, penyerang tinggi lampai berkenaan juga mempunyai rekod jaringan cukup baik dalam Liga Super buat skuad Warga Kota, PKNS FC dan Melaka United.
Meskipun terdapat ura-ura berkenaan sebelum ini, keputusan FAM untuk terus mendiamkan diri mengenainya menimbulkan 1,001 persoalan mengenai proses naturalisasinya.
Jadi, bagi menjawab persoalan terbabit, Majoriti menghubungi ejen kepada pemain kelahiran Colombia itu, Effendi Jagan Abdullah bagi mendapatkan kepastian.
"Ia masih dalam proses. Seperti mana saya dapatkan (maklumat) daripada KL City FC, ia masih dalam proses dan mungkin boleh dapat diselesaikan dalam masa singkat, insya-ALLAH," katanya kepada Majoriti.
Effendi (kiri) bersama Romel (tengah) dan CEO KL City FC, Stanley Bernard. — Instagram/effendijagan
Effendi sudah mewakili Romel untuk beberapa musim dengan dia turut terlibat ketika pemain berkenaan menyertai kelab Lembah Klang itu pada 2021.
Kehadirannya bersama skuad Warga Kota adalah cukup penting memandangkan penyerang berkenaan memainkan peranan penting ketika KL City FC menjulang Piala Malaysia pada tahun sama.
Selain mewakili Romel, Effendi juga merupakan ejen kepada beberapa pemain Liga Super, termasuk penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Syihan Hazmi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai masa depan Romel bersama KL City FC, Effendi turut memberitahu bahawa pelan pasukan itu bersamanya hampir berjaya.
Ejen berkenaan turut berasa bersyukur kerana selama tiga tahun Romel bersama kelab berkenaan hampir tercapai, dengan pemain itu hampir menjadi warga negara naturalisasi dan meraih kejayaan bersama kelab dan secara peribadi.
"Ya, ada kelab-kelab yang bertanya, tetapi saya sendiri tidak boleh dedahkannya. Apa-apa pun, dia ada kontrak lagi dengan KL City, tetapi sekiranya ada yang mahukannya, kita akan berbincang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram