SEJAK mengendalikan Persib Bandung, Bojan Hodak berjaya membawa kelab berkenaan ke kedudukan kedua Liga 1 Indonesia selepas hanya beberapa perlawanan.
Perubahan itu sememangnya cukup diraikan penyokong pasukan itu memandangkan skuad Pangeran Biru sebelum ini bergelut pada awal musim.
Sekiranya prestasi cemerlang tersebut diteruskan, tiada sebab untuk menidakkan peluang mereka menjuarai liga buat pertama kali sejak 2014.
Bagaimanapun, beberapa isu masih perlu difikirkan Bojan jika dia mahu merapatkan jurang dengan pendahulu Liga 1 Indonesia, Borneo FC dengan empat mata membezakan mereka ketika ini.
Perkara utama yang pastinya perlu diperhatikan adalah mengenai kerapuhan benteng pertahanan apabila Persib Bandung sudah dibolosi sebanyak 22 kali setakat ini.

Gallifuoco (kiri) pernah bekerjasama dengan Bojan untuk beberapa musim. — Facebook/Kuala Lumpur City
Namun, nasib menyebelahi bekas ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC berkenaan dengan jendela perpindahan liga di negara berkenaan akan dibuka tidak lama lagi.
Selain berpeluang menggugurkan pemain kurang berkualiti, Bojan juga berpeluang mendapatkan nama-nama baharu, terutama di posisi pertahanan.
Isu berkenaan seperti sudah difahami jurulatih kelahiran Croatia tersebut apabila terdapat laporan mengatakan dia berminat mendapatkan beberapa bek tengah Liga Super.
Menurut ciapan T Avineshwaran baru-baru ini, Persib Bandung difahamkan sedang cuba membawa masuk import yang sedang mempamerkan bakat masing-masing ketika ini.
"Dengan jendela perpindahan hampir dibuka di Indonesia, Persib Bandung dikatakan sudah menunjukkan minat terhadap beberapa pemain Liga Super.

Peres membuktikan kebolehannya dalam musim debutnya dalam Liga Super bersama Sabah FC.
"Pemain yang sedang diperhatikan ialah bek tengah Sabah FC, Gabriel Peres dan dua pertahanan tengah KL City FC, Matko Zirdum dan Giancarlo Gallifuoco," ciapnya.
Ketiga-tiga bek tengah berkenaan dilihat cukup sesuai untuk meningkatkan kualiti pertahanan skuad Pangeran Biru berdasarkan kebolehan masing-masing.
Gabriel Peres merupakan salah seorang tonggak buat skuad Sang Badak musim ini sementara Zirdum dan Gallifuoco turut memiliki peranan penting buat kelab Lembah Klang itu.
Bagaimanapun, harapan Bojan untuk membawa masuk salah seorang daripada mereka pastinya berdepan kesukaran memandangkan jendela perpindahan Liga Super hanya akan dibuka pada Disember. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
