KEMENANGAN 2-1 yang diraih Terengganu FC ketika aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia 2023 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat sudah cukup untuk memastikan kemaraan mereka ke pentas akhir.
Pencapaian berkenaan pastinya cukup membanggakan dalam usaha skuad Sang Penyu menamatkan kemarau kejuaraan yang dialami sejak 11 tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, kemaraan ke perlawanan akhir tersebut memberi peluang buat kelab Pantai Timur berkenaan untuk 'membalas dendam' terhadap Johor Darul Takzim (JDT).
Selain tewas dalam pertembungan Piala Sumbangsih sebelum ini, Terengganu FC turut mengalami episod duka ketika berdepan juara Liga Super itu dalam perlawanan akhir Piala FA musim lalu.
Jadi, tidak hairanlah apabila kemenangan ke atas KL City FC itu diraikan ribuan penyokong Sang Penyu yang membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Kejayaan tersebut turut diraikan pemain serta barisan kejurulatihan yang pastinya teruja atas pencapaian berkenaan selepas memulakan musim 2023 dengan langkah kiri.
Tidak terkecuali daripada sambutan berkenaan ialah pengurus Terengganu FC, Fadhil Wahab yang sememangnya cukup dikenali dalam kalangan peminat pasukan itu.
Dalam satu video yang dimuat naik Piang Shankly, Fadhil dilihat dikerumuni pemain yang mengalu-alukannya menikmati momen manis tersebut bersama penyokong.
Pengurus tersebut kemudiannya mengambil kesempatan berkenaan untuk membuat aksi 'siuu' seakan-akan Cristiano Ronaldo yang dipopularkan bekas pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim.
Keraiannya itu disambut baik ribuan penonton yang hadir dengan ia membuktikan bahawa Fadhil mempunyai hubungan cukup baik dengan orang ramai sejak dilantik pada 2021.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu FC menundukkan KL City FC 2-1 dengan kedua-dua gol Sang Penyu dijaringkan Ivan Mamut manakala pasukan pelawat meraih jaringan menerusi Romel Morales.
Kemenangan berkenaan menyaksikan naib juara Liga Super 2022 itu membenam skuad Warga Kota dengan agregat 4-2 setelah keputusan sama turut diraih dalam perlawanan pertama.
Terengganu FC bakal berdepan JDT yang mara setelah menyingkirkan Perak FC dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram