SEBELUM ini, berita gembira diterima penyokong Penang FC apabila dikhabarkan pasukan berkenaan bakal dirombak selepas satu lagi musim Liga Super yang mengecewakan.
Dalam 23 perlawanan diharungi, skuad Harimau Kumbang hanya mencatatkan lima kemenangan dan lima keputusan seri dengan pulangan berkenaan menyaksikan mereka terperosok ke tangga ke-11 liga.
Prestasi mengecewakan turut dialami mereka yang disingkirkan awal daripada saingan Piala FA dan Piala Malaysia dengan nasib sama juga dihadapi dalam MFL Challenge Cup.
Jadi, dalam usaha mengubah situasi berkenaan, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan baharu Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen sudah membuat beberapa perubahan baharu.
Antara langkah awal yang diambil adalah dengan menggugurkan Pengarah Teknikal kelab, Kamal Kalid serta pengurus Penang FC, Ong Eng Hua berkuat kuasa Ogos lalu.
Amer Saidin memiliki pengalaman beberapa musim bersama JDT II. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, sehingga kini, situasi pasukan masih belum berubah apabila skuad Harimau Kumbang hanya mengumpul satu mata daripada lima perlawanan terakhir Liga Super.
Perkara itu menyaksikan rata-rata penyokong Penang FC terus mendesak pihak pengurusan untuk terus mencari jalan bagi memperbaiki prestasi mereka pada musim akan datang.
Harapan tersebut seperti didengari Zi Sen apabila baru-baru ini, dia meninggalkan satu klu menarik mengenai pemain yang bakal didapatkan pada jendela perpindahan akan datang dengan membalas komen peminat menerusi emoji 'tabik'.
Ia dilihat menerusi satu komen yang diberikannya dalam hantaran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) di Facebook mengenai penjaring terbanyak kelab Liga M3 iaitu Kuala Lumpur (KL) Rovers, Amer Saidin.
Komen berkenaan dibuat bagi menjawab pujukan dibuat seorang peminat bola sepak tanah air, Mohamad Khoridi Abdul Aziz yang mengatakan pemain itu boleh dibawa ke Penang FC.
Amer memiliki kebolehan untuk membantu jentera serangan Penang FC musim depan. — Facebook/AFL
Berdasarkan hantaran AFL, Amer Saidin merupakan seorang pemain cukup berkualiti musim ini dari segi serangan mahupun pertahanan dengan dia menjaringkan 12 gol dalam saingan Liga M3.
Meskipun hanya beraksi sebagai bek tengah, ia dilihat tidak menghalang bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) II itu untuk membantu barisan serangan KL Rovers yang menutup tirai liga di tangga kedua.
Usaha untuk mendapatkan pemain berkenaan pastinya tidak sukar buat Penang FC memandangkan Amer merupakan anak jati Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Selain itu, peluang untuk beraksi dalam Liga Super pastinya sukar ditolak dengan perkhabaran semasa mengatakan tiada pasukan Liga M3 bakal 'dinaikkan pangkat' pada 2024.
Jika Amer memilih untuk menyertai skuad Harimau Kumbang, masalah ketumpulan barisan serangan pasti dapat diperbaiki dengan pasukan itu hanya menjaringkan 25 gol setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram