SETIAP dua tahun, Harimau Malaya akan beraksi dalam saingan Piala AFF untuk merebut kejuaraan bola sepak Asia Tenggara.
Walaupun sering dianggap sebagai pasukan yang mantap di rantau ini, Harimau Malaya cuma menang sekali sahaja kejuaraan ini pada 2010 apabila menewaskan Indonesia.
Pada 2016, Datuk Ong Kim Swee yang melatih pasukan kebangsaan cuba untuk mengulangi kejayaan Datuk K. Rajagobal itu. Dengan kejohanan yang diadakan di Myanmar, pendekatan berbeza perlu diambilnya.
Bagi memastikan kejuaraan berjaya dibawa pulang, Kim Swee memperkenalkan rejim latihan yang berbeza berbanding kebiasaan buat para pemain Harimau Malaya iaitu bermain bola di bawah panas terik matahari.
Malaysia mengharungi kempen mengecewakan di Piala AFF 2016. — Agensi
Lazimnya, sesi latihan Harimau Malaya adalah pada pukul 5 petang tetapi ia dicepatkan kepada 3 petang. Tujuan latihan tersebut dilakukan kerana Kim Swee mahu para pemain membiasakan diri dengan panas terik di Myanmar kerana perlawanan diadakan pada jam 3 petang waktu negara tersebut.
"Para pemain perlu lupakan rutin tidur sebentar pada tengah hari untuk berlatih di bawah terik matahari. Kami tak nak ambil mudah. Saya nak para pemain membiasakan diri dengan waktu perlawanan luar biasa ini.
"Cuaca panas boleh memberi kesan kepada persembahan pasukan. Jadi, ia penting untuk kami mengambil segala langkah bagi melengkapkan diri bermain dalam keadaan sebegini," kata Kim Swee.
Pada edisi 2016, Malaysia diundi bersama-sama Vietnam, Kemboja dan tuan rumah Myanmar dalam kumpulan B. Malangnya, Harimau Malaya pulang awal.
Malaysia menduduki tangga ketiga selepas hanya menang sekali sahaja pada perlawanan pembukaan menentang Kemboja dengan keputusan 3-2.
Harimau Malaya terus layu apabila kalah 0-1 kepada Vietnam sebelum tunduk kepada Myanmar dengan jaringan yang sama.
Tujuh tahun daripada edisi tersebut, Malaysia masih lagi kempunan untuk membawa pulang Piala AFF. Mereka berjaya layak ke perlawanan akhir edisi 2018 tetapi hampa apabila dikalahkan Vietnam.
Penantian berterusan hinggalah edisi 2024 akan diadakan kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram