PERSIAPAN Terengganu FC untuk bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi separuh akhir Piala Malaysia bakal terganggu kerana ketiadaan pemain mereka.
Skuad Penyu bakal turun tanpa kelibat Nurillo Tukhtasinov yang digantung selepas pemain itu mengutip dua kad kuning sebelum ini.
Disebabkan itu, pemain dari Uzbekistan itu akan terlepas aksi penting di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Oleh kerana itu juga, pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner perlu melakukan perancangan berbeza bagi berdepan skuad Warga Kota.
Bukan sekadar Nurrilo, Terengganu juga akan turun tanpa dua pemain pertahanan iaitu Shahrul Nizam serta Sardor Kulmatov yang terlibat dalam kecederaan.
Selain daripada Shahrul dan juga Kulmatov, Terengganu turut kehilangan Norhakim Hassan di bahagian serangan untuk perlawanan penting ini.
Terengganu bakal hilang beberapa pemain untuk bertemu KL City. — Facebook/Terengganu FC
Oleh itu, Steinbruckner perlu melakukan beberapa pertukaran penting di beberapa posisi bagi memastikan Terengganu tidak terlalu terkesan ketika bertemu KL City. Steinbruckner tetap akan bersedia dengan apa jua kemungkinan.
"Kami buat persediaan sebaik mungkin bagi menghadapi perlawanan besar ini. Shahrul Nizam, Sardor Kulmatov dan Norhakim Hassan ada masalah tertentu.
"Bagaimanapun, saya rasa pasukan akan bersedia walaupun Nurillo digantung perlawanan. Saya tidak berharap keadaan akan menjadi mudah dalam menentang KL City kerana siapa pun yang main akan berikan persembahan terbaik," kata Steinbruckner.
Pengendali dari Croatia itu turut mengatakan yang pasukannya perlu fokus untuk perlawanan tersebut kerana sudah pasti pasukan pelawat mempunyai idea tersendiri untuk mengecewakan Terengganu di depan penyokong sendiri.
"KL City mungkin bersedia dengan beberapa kejutan untuk kami. Jadi, kami perlu bersedia dan fokus sepenuhnya pada perlawanan," tegas Steinbruckner.
Terengganu membawa pulang kelebihan satu gol selepas menang 2-1 pada aksi pertama di Cheras. Walaupun menang dan bakal beraksi di depan penyokong sendiri, itu bukanlah satu jaminan untuk mereka mara ke perlawanan akhir. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram