KEMENANGAN tipis 2-1 dan lolos ke suku akhir Piala Liga Inggeris (Carabao Cup) nyata melegakan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp selepas melihat tentangan sengit dipamerkan Bournemouth di Stadium Vitality, awal pagi Khamis.
Darwin Nunez muncul wira The Reds apabila jaringannya pada minit ke-70 memastikan tiket ke pusingan lapan terbaik menjadi milik Liverpool selepas tuan rumah menyamakan kedudukan sebelum itu.
Jelas Klopp, biarpun anak buahnya berjaya mendahului di babak pertama namun Bournemouth tampil aksi berbeza di awal separuh masa kedua yang sedikit memberi tekanan buat pasukannya.
"Tetapi ia benar-benar sukar dan satu perlawanan yang berbeza, masing-masing mempunyai peluang dan kami lebih bernasib baik untuk mengakhiri aksi memihak kami.
"Sekarang kami akan pulang dan menempuh perjalanan yang agak jauh, namun kemenangan ini sekurang-kurangnya meredakan tekanan dan kami berasa lebih bersemangat selepas ini," katanya.
Dalam aksi itu, Cody Gakpo terlebih dulu meletakkan pelawat di depan pada minit 31 untuk memberi kelebihan buat Liverpool menuju ke bilik persalinan.
Selepas rehat, Bournemouth tampil lebih kemas dan berjaya menyamakan kedudukan Justin Kluivert di minit-64 sebelum Nunez yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol kemenangan buat pelawat.
Namun sebelum Nunez berjaya menjaringkan gol, penyokong Bournemouth terlebih dahulu mentertawakan penyerang kelahiran Uruguay itu kerana gagal menampan bola dengan kemas hasil hantaran Trent Alexander-Arnold.
Tetapi lima saat kemudian kesemua penyokong terdiam selepas Nunez menjaringkan gol dan meraikan jaringannya itu di hadapan penyokong Bournemouth.
Keraian Nunez itu diikuti dengan gaya sambutan menunjukkan ke arah telinga seperti suruh penyokong Bournemouth terus mempersendakan dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram