Enggan menyerah tanpa Luciano, Perak FC awasi 3 bintang JDT


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Antara latihan persiapan Perak FC menjelang pertemuan menentang JDT. — Facebook/Perak FC

ENGGAN menyerah sebelum berjuang.

Itulah situasi yang boleh digambarkan situasi kem Perak FC menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor Bahru, Johor pada Khamis.

Memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bersama pertahanan Perak FC, Shivan Pillay Asokan sebelum perlawanan menentang JDT, pemain berusia 22 tahun itu yakin dengan taktikal direncanakan ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

"Untuk perlawanan ini kapten pasukan, Luciano Guaycochea (Lucho) tak boleh bermain jadi corak permainan hampir sama.

"Sebab coach Yusri punya filosofi permainan kami faham macam mana nak main dengan bola.

"Jadi Lucho pemain tengah untuk ganti dia kita ada, jadi kita akan buat yang terbaik esok (Khamis)," katanya kepada MFL.

Lucho

Luciano Guaycochea. Facebook/Perak FC

Tambahnya lagi, barisan serangan JDT antara yang perlu diberi tumpuan oleh pertahanan Perak untuk merealisasikan impian tidak dibolosi di Stadium SSI.

"Bagi saya bermain di SSI itu adalah cabaran untuk kami, tapi kita sampai ke separuh akhir ini adalah peluang untuk kami.

"Kami datang ke sini untuk bagi yang terbaik, saya harap dapat keputusan yang bagus.

"Barisan serangan Johor, Fernando Forestieri, Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi adalah satu cabaran untuk kita, tetapi kami dah buat penilaian dari perlawanan pertama di Ipoh, Perak.

"Jadi kita akan kurangkan kesilapan dan harap tidak bolosi sebarang jaringan pada perlawanan itu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram