PRESTASI semasa Persib Bandung sejak dikendalikan oleh Bojan Hodak boleh dikatakan baik selepas berada di kedudukan kedua BRI Liga 1 (Indonesia) selepas mengharungi 17 perlawanan.
Selepas melakar pelbagai kejayaan bersama Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan berjaya menarik minat Persib Bandung untuk menggantikan Luis Milla pada Julai lalu.
Bersama KL City, Bojan berjaya menjuarai Piala Malaysia 2021 serta memacu The City Boys ke pentas akhir Piala AFC pada tahun lalu tetapi gagal mengulangi rekod Johor Darul Takzim (JDT) yang menjadi satu-satunya kelab Asia Tenggara menjuarai kejohanan tersebut.
Bukan sahaja berjaya dalam padang, Bojan Hodak turut mengikuti jejak langkah Pep Guardiola apabila dilihat menurunkan ilmu kejurulatihannya kepada pembantu jurulatihnya.
Ia sedikit sebanyak memberikan dorongan buat pembantunya untuk naik pangkat bergelar ketua jurulatih.
Persis Pep Guardiola, Mikel Arteta yang sebelum ini berguru dengannya di Manchester City kini berjaya sebagai pengendali Arsenal malah menjadi pencabar utama The Citizen merangkul trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Bukan itu sahaja, Enzo Maresca yang juga pembantu jurulatih Pep selepas Arteta, turut dipilih menjadi pengurus Leicester City yang membawa tugas berat untuk mengembalikan pasukan itu ke saingan EPL musim depan.
Arteta (atas kanan) dan Maresca (bawah kanan) kini sudah bergelar ketua jurulatih. — Agensi
Maka tidak hairanlah, Bojan Hodak turut melakukan perkara sama meskipun dia sudah tidak lagi berada di Malaysia, Majoriti senaraikan dua pembantu jurulatih yang kini berada di fasa baharu dalam karier mereka:
1. Nenad Bacina
Antara pembantu jurulatih yang sudah lama bersama Bojan Hodak sejak di JDT pada musim 2014 sehingga 2015.
Nenad kini berjaya menjadi pengganti Bojan Hodak di KL City selepas berpisah dengan The City Boys pada 2022 untuk berhijrah ke Arab Saudi bersama Al-Fayha FC.
Nenad menjadi pengganti Bojan di KL City. — Facebook/KL City
Bersama Bojan, Nenad turut berkhidmat sebagai pembantu jurulatih di Penang FA (2016), Malaysia B-19 (2017-2019), PSM Makassar (2020) dan KL City (2021-2022).
Selepas menjadi pengganti Bojan pada Julai, Nenad telah merekodkan tiga kemenangan dalam enam perlawanan terakhir bersama KL City.
Dan kini pengendali berusia 52 tahun itu dalam misi penting untuk mengulangi kejayaan Bojan Hodak membawa KL City ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
Shukor antara pembantu jurulatih Bojan yang mendapat kepercayaan FAM. — Facebook/KL City
2. Muhd Shukor Adan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sah melantik Juan Torres Garrido sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia yang baharu bagi menggantikan E. Elavarasan.
Garrido yang sebelum ini merupakan pembantu Elavarasan dinaikkan pangkat selepas pengendali tersebut meletakkan jawatan untuk kembali fokus sebagai penolong kepada Kim Pan-gon di skuad senior.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu akan dibantu oleh Shukor Adan yang menggalas tanggungjawab sebagai pembantu jurulatih skuad B-23.
Shukor yang juga pemain kebangsaan sebelum ini mempunyai pengalaman dalam barisan kejurulatihan ketika menjadi penolong jurulatih pasukan Liga Super, KL City FC.
Lantikannya itu mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak namun bagi bekas pengendali skuad Warga Kota, Bojan Hodak pula menganggap Shukor sepatutnya dipilih sebagai ketua jurulatih B-23. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram