Selepas bantai Perak FC, YCL pujuk Syihan Hazmi?


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara JDT dan Perak FC pada Khamis. — Facebook/JDT

JOHOR DARUL TAKZIM (JDT) mudah menempah nama sebagai finalis Piala Malaysia 2023 selepas menundukkan Perak FC 8-1 sekali gus mencatatkan agregat 12-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah, Johor pada Khamis.

Perbezaan kualiti di antara JDT dan Perak jelas menunjukkan Harimau Selatan berada di kelas tersendiri apabila mengawal tempo permainan sepanjang 90 minit.

Ketiadaan kapten pasukan, Luciano Guaycochea menunjukkan Perak gagal mengawal bahagian tengah sekali gus membuatkan anak-anak buah Yusri Che Lah dibolosi lapan jaringan.

Fernando Forestieri, Bergson da Silva, Heberty Fernandes dan Syafiq Ahmad masing-masing menjaringkan dua gol buat JDT.

Gandingan Forestieri dan Arif Aiman berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-11 sekali gus menjadi titik permulaan kekalahan besar Perak di tangan JDT.

JDT menguasai keseluruhan permainan sebelum pemain Perak, Muhammad Firdaus berjaya menjaringkan gol sagu hati buat The Bos Gaurus sebelum wisel penamat ditiupkan.

WhatsApp Image 2023-11-02 at 11.23.28 PM (1)

Yusri (kiri) bersama Syihan (kanan) selepas tamat perlawanan.

Selepas perlawanan lensa kamera tertumpu kepada penjaga gol JDT, Syihan Hazmi dan Yusri seolah-olah membincangkan sesuatu di tepi garisan padang.

Namun dilihat tiada perbincangan serius yang berlaku di antara mereka selepas Syihan dilihat tersenyum apabila bercakap dengan Yusri.

Dalam pada itu, penyokong Perak berpuas hati melihat persembahan anak-anak buah Yusri meskipun dibolosi sehingga lapan gol.

"Kalah itu pasti tetapi semangat melawan itu mesti ada, kita pasukan kerdil nak lawan gergasi," kata Andak.

"Kalah menang adat perlawanan, semoga berjaya di masa hadapan. Ini semua pengalaman yang paling berharga," jelas Khairul Nizzamm.

"'Enjoy the match', tak perlu rasa 'down', ini peluang merasai aura semi-final buat pemain-pemain muda kita," ujar Azul Aziri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram