KUALITI padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum ini mendapat perhatian ramai ketika berlangsungnya aksi Pestabola Merdeka pada 13 hingga 17 Oktober lalu.
Meskipun selepas rumput jenis Zeon Zoysia ditanam, padang berkenaan dilihat masih terlalu mudah tercabut sehingga menjejaskan rentak permainan pasukan negara dan pihak lawan.
Perkara berkenaan menyebabkan beberapa pihak memberi pandangan tersendiri mengenai kualiti padang di stadium berkapasiti 90,000 penyokong berkenaan dengan ramai daripada mereka melihat ia digunakan terlalu awal.
Antara yang turut berpandangan sedemikian ialah pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris dengan mengatakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlalu terburu-buru untuk menggunakannya.
Selain memberi teguran secara terbuka, dia turut menawarkan Stadium Sultan Ibrahim, Johor kepada pasukan kebangsaan untuk aksi antarabangsa seterusnya.
Kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil menerima kritikan hangat.
Perkara tersebut kemudiannya terus disokong rata-rata peminat bola sepak tanah air memandangkan venue berkenaan pernah digunakan ketika dua perlawanan menentang Hong Kong dan Turkmenistan.
Bagaimanapun, tawaran itu sepertinya tidak dipersetujui pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menerusi satu catatan di laman media sosial rasmi FAM pada Jumaat.
"Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan rumah Harimau Malaya. Para penyokong dan pemain sendiri sudah cukup biasa dengan suasana di stadium ini. Ia kubu kuat pasukan Harimau Malaya.
"Besarlah harapan saya supaya perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November ini akan tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional," katanya.
Menurut pengendali kelahiran Korea Selatan itu, penggunaan stadium berkenaan bakal membolehkan lebih ramai penonton hadir dengan situasinya yang strategik di ibu kota.
Pan-gon memasang hasrat aksi Harimau Malaya diadakan di Bukit Jalil. — Facebook/FAM
Selain Stadium Sultan Ibrahim, skuad kebangsaan juga pernah beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada pertengahan tahun ini ketika padang baharu dipasang di Bukit Jalil.
Penggunaan kedua-dua venue itu dilihat cukup baik dengan jumlah kehadiran penyokong turut menggalakkan, namun suasana dan kemeriahannya kurang dirasai.
Tambah Pan-gon lagi, pemeriksaan mengenai kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah dibuat pada Khamis dengan pelbagai pihak mula berpuas hati.
"Berdasarkan tinjauan terkini bersama pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), kami mendapati bahawa keadaan padang adalah bertambah baik berbanding ketika Pestabola Merdeka pada bulan lepas.
"Dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.
Selepas aksi berdepan Krygyzstan di laman sendiri, skuad kebangsaan akan berdepan aksi kedua Kumpulan D berdepan China Taipei pada 21 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram