SELAGI Liga Super masih belum berakhir, selagi itulah penderitaan pasukan Pantai Timur, Kelantan FC tidak akan tamat.
Pasukan tercorot Liga Super ini diselubungi pelbagai kontroversi daripada awal musim hingga sekarang. Faktor utama adalah permasalahan gaji yang melibatkan para pemain mereka.
Permasalahan mengenai tunggakan gaji ini begitu teruk hinggakan pemain-pemain The Red Warriors tidak lagi mampu untuk menjalani kehidupan yang biasa sebagai atlet sukan profesional. Mereka kini menjamah mi segera untuk mengalas perut.
Perkara itu nyata memberi kesan kepada prestasi mereka ketika perlawanan. Disebabkan itu Kelantan mula tewas dengan jaringan besar dengan tumpas 0-8 kepada Perak FC merupakan kekalahan teruk terkini mereka pada Sabtu.
Aksi seterusnya adalah menentang Sabah FC di Kota Bharu pada 3 November ini akan dibawa ke tarikh baharu. Menurut laman Facebook Kelantan, keputusan itu dibuat selepas Malaysian Football League (MFL) memilih untuk menangguhkan aksi tersebut.
Perlawanan itu akan diadakan ketika FIFA Days ketika Harimau Malaya beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 pada pertengahan November.
Melihat kepada penangguhan itu, penyokong-penyokong Kelantan menyambut baik situasi tersebut dengan mereka berharap Kelantan tidak lagi akan turun beraksi bagi musim ini.
Ramai yang mencadangkan agar Kelantan menarik diri daripada semua baki perlawanan Liga Super musim ini untuk mengelak malu besar. Sebagai rekod, Kelantan mempunyai baki perlawanan bertemu Sabah, Kedah Darul Aman FC, PDRM FC dan Kelantan United.
"Kekalahan tertangguh," kata penyokong bernama Tokbah Rakie Yunus.
"Kalau lawan kalah 7-0, kalau tarik diri kalah 3-0 je," ujar Nor Izaidi Abu Bakar.
"Eloknya batalkan terus, minta walk over kira kalah 3-0. Lambat sikit bolos 100 (gol)," komen Shahrul Ishtiaq.
Kelantan menghampiri rekod tidak diingini iaitu bolos 100 gol dalam Liga Super. — Facebook/MFL
Ada juga penyokong yang berharap Kelantan tidak lagi beraksi musim ini kerana sudah terlalu kecewa dengan persembahan pasukan.
"Penonton dan penyokong sudah tawar hati nak ambil tahu perkembangan Kelantan FC, disebabkan perlawanan amat mengecewakan daripada awal hingga penghujung musim. Langsung tiada perubahan pada kedudukan carta," kata Roslan Lan.
"Tak tahu nak sedih ke nak suka tengok keadaan Kelantan sekarang," komen Abe Marchello.
Setakat ini, Kelantan telah bolos 95 gol hasil daripada 22 aksi Liga Super yang diharungi mereka musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram