Hai-O & YCL lebih berhak rangkul gelaran jurulatih terbaik berbanding Solari


  • Podium
  • Rabu, 01 Nov 2023

Hairuddin dan Yusri masing-masing mempunyai merit untuk memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik ABK23.

MASANYA semakin hampir untuk bola sepak tempatan menghargai hasil kerja individu-individu yang mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang musim Liga Malaysia 2023.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK23) kini telah mendedahkan calon-calonnya dengan pertarungan menarik berlaku dalam kategori jurulatih terbaik.

Nama seperti Eseteban Solari (Johor Darul Takzim) mungkin dianggap sebagai calon pilihan atas kecemerlangan Harimau Selatan di peringkat domestik.

Akan tetapi, muncul nama-nama menarik seperti Hairuddin Omar (Terengganu FC II) dan Yusri Che Lah (Perak) yang boleh mencabar Solari untuk gelaran tersebut.

Analisis ringkas Majoriti kali ini akan menyenaraikan mengapa Hairuddin dan Yusri lebih berhak untuk merangkul gelaran jurulatih terbaik berbanding Solari:

1. Berpotensi tinggi (Hairuddin Omar)

Kemunculan Hairuddin sebagai bakat baharu dalam kejurulatihan negara tidak boleh dipandang sepi. Prestasinya bersama-sama TFCII sememangnya menakjubkan dalam saingan Piala MFL.

393741842_315189811148130_5344828339571738386_n

TFCII akan bertemu JDTII untuk menentukan juara Piala MFL 2023. — Facebook/Terengganu FC II

Hairuddin berjaya membawa TFCII mara sehingga ke perlawanan akhir Piala MFL musim ini. Bukan itu sahaja, dia berjaya membawa pasukannya dengan bergaya apabila mencatatkan rekod tanpa kalah dalam Liga Juara Piala MFL.

Selain daripada itu, Hairuddin juga mempamerkan corak permainan yang segar bersama-sama TFCII. Pendekatan yang lebih moden dalam taktikalnya membuatkan TFCII salah sebuah pasukan menyeronokkan untuk disaksikan.

Jelas sekali, Hairuddin adalah salah seorang daripada prospek untuk menjadi pengendali elit dalam bola sepak Malaysia.

2. Membawa pasukan jadi progresif (Yusri Che Lah)

Yusri Che Lah mengambil alih Perak ketika pasukan tersebut mengalami masalah prestasi bersama Datuk Lim Teong Kim.

Secara perlahan-lahan, Yusri mengubah nasib Perak dan hasilnya mula kelihatan apabila prestasi The Bos Gaurus semakin meningkat dan mula mendapatkan keputusan positif.

395546568_344569971456718_1315304727647155048_n

Luciano Guaycochea cemerlang bersama-sama Perak FC. — Facebook/Perak FC

Di bawah kendalian Yusri, Perak menunjukkan taring mereka dalam saingan Piala Malaysia apabila menumbangkan Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC untuk ke separuh akhir.

Prestasi baik berterusan dalam saingan Liga Super apabila Perak mengutip kemenangan demi kemenangan dan yang kemudiannya berjaya membawa Perak keluar daripada zon bawahan.

Prestasi Yusri bersama-sama Perak menjadikan kelab itu mempunyai prestasi paling progresif dalam kalangan pasukan-pasukan bawahan di Liga Super.

3. Bukan saja kelab bahkan untuk negara (Hairuddin Omar)

Hairuddin bukan sekadar berjaya membentuk pasukan yang mantap dari segi prestasi dan persembahan, malah dia berhasil membuatkan para pemainnya bersedia menyahut cabaran lebih hebat.

Oleh kerana Hairuddin, beberapa nama pemain muda mula menyerlah dan kini mendapat panggilan Tomislav Steinbruckner untuk skuad utama Terengganu.

KUALA NERUS, 16 Sept -- Pemain Terengganu FC (TFC) Muhammad Syahmi Zamri meraikan kejayaan selepas berjaya menjaringkan gol semasa menentang pasukan Selangor FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam ini.Keputusan tamat perlawanan TFC 2-0 Selangor FC.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Syahmi mula disebut-sebut untuk diserap ke Harimau Malaya. — Bernama

Ubaidullah Shamsul serta Syahmi Zamri antara nama-nama yang Hairuddin bangunkan hingga mula mendapat tempat dalam skuad utama Terengganu. Bukan sekadar mendapat tempat, malah telah meninggalkan impak positif kepada skuad Penyu.

Lebih menarik, ada yang telah dipanggil menyertai skuad kebangsaan dengan Ubaidullah menyertai Harimau Muda sementara Syahmi mula disebut-sebut untuk diserap ke Harimau Malaya.

4. Menghidupkan semula karier pemain (Yusri Che Lah)

Selain daripada mengembalikan prestasi pasukan, Yusri juga berjaya membuatkan beberapa pemain kembali 'bernyawa' dalam karier mereka.

Contoh terbaik boleh disaksikan pada Wan Zack Haikal, Yusri bertanggungjawab menghidupkan semula karier pemain ini walaupun sudah memasuki era senior.

395514769_344570354790013_2291332328343757408_n

Wan Zack cukup cemerlang bersama-sama Perak hasil bantuan Yusri. — Facebook/Perak FC

Wan Zack menjadi pemain utama dalam detik kebangkitan Perak dengan kemunculannya sentiasa membuatkan pihak lawan gentar.

Oleh kerana itu, nama Wan Zack berjaya lolos ke pencalonan Anugerah Penyerang Terbaik ABK23. Selain itu, Yusri berjaya mengeluarkan potensi Luciano Guaycochea.

Guaycochea tidak dianggap sebagai antara barisan import cemerlang seperti dimilik pasukan lain. Namun hasil bantuan Yusri, kepimpinannya sebagai ketua pasukan Perak dan kebolehannya sebagai pemain semakin menyinar.

Berhak diberikan penghargaan

Walaupun terdapat nama-nama lain seperti Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe, namun persembahan ditonjolkan oleh Hairuddin dan Yusri menunjukkan negara kita tidak ketandusan jurulatih berkaliber.

Mereka mungkin tidak membawa pulang piala tetapi nilai progresif yang dibawa kepada pasukan masing-masing nyata memberi kesan buat para pemain.

Bukanlah hendak menidakkan kehebatan prestasi Solari, tetapi menjadi jurulatih bukan sekadar untuk menang piala tetapi mengeluarkan potensi sebenar pemain hingga mereka berjaya.

Maka dalam hal itu, Hairuddin dan Yusri jelas melakukannya dengan cukup cemerlang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram