PADA Selasa, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan acara kemuncak Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK23) yang bakal berlangsung pada hujung Disember depan.
Seperti sedia maklum, ABK23 merupakan satu pengiktirafan gilang-gemilang untuk menghargai hasil kerja individu-individu yang mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang musim Liga Malaysia 2023.
Lebih menarik lagi, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon kali ini akan memilih sendiri pemenang untuk Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) daripada kalangan pemenang empat kategori, iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik.
Tumpuan pasti terarah kepada Pemain Paling Bernilai (MVP) yang ketika ini dipegang pemain Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang memenangi gelaran terbabit untuk dua tahun berturut-turut.
Bagaimanapun, pesaing terdekat anugerah tersebut adalah penyerang berbisa Selangor FC, Faisal Halim yang pastinya mempunyai ciri-ciri tersebut.
Analisis ringkas Majoriti kali ini akan menyenaraikan tiga kriteria yang akan ditentukan sendiri oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu:
Bahang kian terasa apabila penyerang berbisa negara bakal bersaing untuk mendapatkan gelaran MVP. — Facebook/FAM
1. Jaringan gol dan assist
Dari segi statistik jaringan gol, Arif Aiman sudah mencetak sebanyak lapan gol dan 11 assists dalam aksi Liga Super.
Selain itu, Arif turut mencipta tiga jaringan ketika aksi Piala FA dan tiga gol berjaya diledak pada perlawanan Piala Malaysia.
Manakala, Faisal Halim pula meledak 11 gol dan tujuh assists dalam aksi Liga Super, satu gol ketika Piala FA dan satu bantuan jaringan pada perlawanan Piala Malaysia.
2. Kad merah/kuning
Bukan sahaja statistik jaringan membezakan malah layangan kad kuning atau merah turut menjadi perbezaan ketara bagi kedua-dua pemain itu.
Dalam aksi Liga Super, Arif Aiman mendapat empat layangan kad kuning berbeza dengan Faisal yang hanya mencatat satu kad kuning sahaja.
Di samping itu, ketika aksi Piala Malaysia dan Piala FA, Faisal mencipta disiplin yang baik apabila tidak dilayangkan kad kuning berbeza dengan Arif yang memperoleh dua kad kuning untuk kedua-dua perlawanan itu.
Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu mencipta rekod yang baik apabila tidak pernah dilayangkan kad merah.
3. Sumbangan dan pengiktirafan
Jika melihat kepada prestasi antara Arif dan Faisal, pastinya kedua-dua mereka mempunyai persembahan yang berbeza.
Dalam pada itu, melihat kepada persembahan yang ditampilkan ketika berada dalam skuad kebangsaan, Faisal dilihat lebih menyakinkan jika dibandingkan dengan Arif.
Hal ini kerana, Faisal dilihat kerap mencari ruang dan peluang untuk mencetak jaringan buat pasukan Harimau Malaya.
Perkara itu dibuktikan ketika skuad kebangsaan berdepan pasukan India dan Tajikistan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram