Status juara bertahan Carabao Cup hilang, Ten Hag tetap anggap diri seorang ‘fighter’


  • Podium
  • Khamis, 02 Nov 2023

Ten Hag dan Manchester United sudah dua kali kalah berturut-turut di laman sendiri. — Agensi

KRISIS di kelab English Premier League (EPL), Manchester United kini semakin membarah apabila pasukan itu terpalit dengan isu prestasi.

Selepas terlibat dalam pelbagai isu luar padang, The Red Devils meneruskan rekod tanpa menang mereka di Old Trafford.

Sebelum ini, United merakamkan kekalahan memalukan kepada jiran tetangga, Manchester City 0-3 dalam aksi EPL.

Kini, mereka tewas pula kepada Newcastle United dengan jaringan yang sama dalam aksi Carabao Cup.

Jaringan oleh Miguel Almiron, Lewis Hall dan Joe Willock cukup untuk menyingkirkan United daripada kejohanan tersebut sekali gus membalas dendam kekalahan Newcastle kepada United pada perlawanan akhir kejohanan ini musim lalu.

Ia turut membuatkan status juara bertahan United kini tidak lagi menjadi milik mereka selepas kekalahan memalukan itu.

Pengurusnya, Erik ten Hag mengatakan yang dirinya tetap seorang pejuang walaupun pasukannya kini sudah kalah dua perlawanan penting berturut-turut.

“Saya pernah katakan sebelum ini, saya tahu akan ada masa sukar tapi macam mana pun kami tetap perlu dapatkan keputusan. Di tahap (setinggi) ini, kami perlu lakukannya dengan betul. Memenangi perlawanan adalah permintaan minimum di tahap ini.

“Saya pandang ini sebagai cabaran. Saya seorang fighter (pejuang) dalam perjuangan ini. Saya perlu pastikan pemain turut berkongsi tanggungjawab dan teguh bersama, berjuang bersama dalam mendapatkan keputusan lebih baik,” kata Ten Hag.

Ten Hag turut mengakui yang dirinya kini berada pada waktu yang sukar bersama United tetapi bekas pengendali Ajax Amsterdam itu tetap optimis semua ini dapat diatasi.

Mungkin gelaran Carabao Cup sudah terlepas tetapi masih ada banyak kejuaraan yang boleh dikejar United.

“Saya faham apabila kami tak dapat keputusan, pertikaian akan turut menyusul. Tapi saya yakin saya boleh lakukannya.

“Di setiap kelab yang pernah saya berada, saya berjaya lakukannya termasuklah ketika di sini musim lalu. Buat masa sekarang, kelab ini sedang alami waktu sukar, saya bertanggungjawab kerana itu,” jelas Ten Hag lagi.

Selepas ini, United akan berdepan Fulham di Craven Cottage dalam tugasan EPL pada 4 November. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram