MASALAH kewangan dalam kalangan kelab Liga Super dilihat tidak menunjukkan tanda untuk pulih. Saban musim, akan ada saja pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji.
Tunggakan gaji yang terpaksa ditanggung pemain dan staf kejurulatihan bukannya sikit-sikit, tetapi pernah sampai sehingga berbulan lamanya.
Situasi ini jelas merisaukan dan menimbulkan persoalan, masih adakah masa depan untuk saingan bola sepak tempatan? Atau sampai masa, satu demi satu kelab akan gulung tikar?
Sudah terdapat cakap-cakap daripada penyokong yang mahukan pihak seperti Malaysian Football League (MFL) melaksanakan sistem gaji siling (salary cap) dan gaji lantai untuk membantu kelab mengawal perbelanjaan mereka terutamanya berkenaan penggajian pemain.
KL City dilaporkan sangkut gaji selama empat bulan. — Facebook/Kuala Lumpur City
Namun begitu, perkara itu dilihat tidak akan membantu secara sepenuhnya dalam usaha mengatasi masalah kewangan kelab-kelab di Malaysia. Menurut penganalisis sukan negara, Prof Madya Dr Zulakbal Karim, pelaksanaan gaji siling dan gaji lantai merupakan satu cadangan yang baik tetapi mahukah kelab melakukannya?
"Pada saya, mewujudkan salary cap ini bagus kerana akan membuatkan persaingan antara pasukan lebih seimbang dan sama rata. Tetapi adakah pasukan hendak patuh kepada pelaksanaan tersebut?
"Hal ini kerana, pasti akan ada pasukan dan pemain yang tidak setuju kerana sebelum ini mereka menerima gaji tinggi. Jika dilaksanakan pun, adakah pasukan akan patuh kepadanya?," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Pada hemat Zulakbal, apa yang paling penting adalah kelab sendiri perlu mengubah mentaliti. Mereka harus berubah dengan menjadi proaktif terutamanya memastikan kewangan kelab sentiasa berada dalam keadaan baik.
Kelab-kelab sudah tidak boleh selesa menerima dana daripada kerajaan negeri. Sebaliknya, pihak pengurusan perlu bangun cari duit sendiri untuk kelangsungan kelab.
Kelantan mengalami masalah tunggakan gaji yang cukup kritikal. — Facebook/Kelantan FC
"Dalam hal ini, kelab sendiri yang perlu berubah. Mereka perlu ada kekuatan untuk berubah daripada sebuah pasukan yang selesa guna duit kerajaan negeri kepada kelab yang pandai mencari dana sendiri.
"Perbelanjaan dalam bola sepak ini tinggi tapi hasilnya kecil. Sudah tiba masa mereka memandang bola sepak ini sebagai sebuah perniagaan, jalankan kelab seperti sebuah entiti perniagaan," ujar Zulakbal.
Zulakbal juga menolak idea untuk membawa semula bola sepak negara tahap separuh profesional atau semi-pro. Hal ini kerana, dia berpendapat itu akan menyukarkan bola sepak Malaysia untuk maju.
"Kita tak boleh senang-senang nak kembalikan bola sepak ke tahap semi-pro. Mesti ada sebab kenapa liga kita dijadikan profesional sepenuhnya.
"Bila saingan semi-pro, pemain akan terikat dengan majikan lain kerana kerja hakiki mereka. Bila terikat, mereka akan sukar untuk dapat pelepasan bermain baik untuk kelab atau negara. Itu akan menyukarkan bola sepak kita," jelas Zulakbal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram