PENINGKATAN Perak FC di peringkat hujung musim Liga Malaysia 2023 kelihatan baik. Yusri Che Lah berjaya memastikan nasib The Bos Gaurus tidak terus malang dan hanyut dalam carta Liga Super.
Bukan sekadar dalam saingan Liga Super, tetapi persembahan Perak di Piala Malaysia turut mendapat pujian apabila Yusri berjaya memimpin pasukannya ke sehingga separuh akhir.
Lebih manis, kejayaan mara ke peringkat itu terjadi apabila mereka menewaskan dua pasukan utama Liga Super iaitu Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC.
Bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di separuh akhir, perjalanan sudah menjadi sukar selepas Perak kalah perlawanan pertama 1-4 di Stadium Perak, Ipoh.
Perak giat berlatih mensiapkan diri untuk perlawanan bertemu JDT di SSI. — Facebook/Perak FC
Bakal berdepan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis, Yusri bagaimana pun tidak mahu pasukannya menyerah sebelum berjuang.
Walaupun sedar tugasan bertemu JDT adalah sukar apabila bertemu di laman mereka, tetapi Yusri tetap mahu para pemainnya memberikan saingan terbaik tidak kira apa jua keputusan yang diperoleh.
"Kita tidaklah sekuat mana, tapi kita mencuba (untuk dapatkan keputusan)," kata Yusri.
Bagi ayam tambatan Perak, Wan Zack Haikal, untuk bergelar juara mereka perlu melakukan sesuatu yang istimewa supaya boleh mendapatkan kejayaan yang diinginkan.
Tugas menumpaskan JDT bukan mudah, tapi jika usaha keras diberikan oleh pemain ketika perlawanan, tidak mustahil keajaiban boleh berlaku.
"Untuk menjadi juara, kita perlu berdepan dengan yang terbaik. Kita akan jadi juara jika dapat menandingi yang terbaik," kata Wan Zack.
Perak berjaya menewaskan Kelantan FC 8-0 dalam aksi Liga Super pada Sabtu dan kemenangan itu akan dijadikan momentum buat mereka cuba membolosi pintu gol JDT yang dikawal oleh Syihan Hazmi.
JDT akan bertemu Perak pada Khamis dengan sepak mula dijadualkan pada pukul 9 malam. Pemenang antara dua pasukan ini akan bertemu sama ada Terengganu FC atau Kuala Lumpur City FC di perlawanan akhir pada 9 Disember. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram