WALAUPUN mungkin ia sudah berakhir, tetapi masih sukar untuk menjauhkan dunia bola sepak dengan kisah seteru melibatkan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Sebelum ini, Ronaldo secara terbuka pernah mengatakan kisah seteru dua pemain ini sudah berakhir apabila dia dan Messi memilih membawa haluan sendiri meninggalkan bola sepak Eropah.
Ronaldo ke Asia menyertai Al-Nassr di Arab Saudi sementara Messi beraksi dengan Inter Miami dekat Amerika Syarikat. Cuma walaupun ia sudah dianggap berakhir, tetapi tidak bagi peminat.
Penyokong masih lagi bertelagah mengenai siapa lebih hebat dan api kembali marak selepas Messi memenangi Ballon d'Or kelapan dalam kariernya. Sementara nama Ronaldo tidak 'lekat' dalam senarai 30 pemain terbaik kali ini.
Dalam perlawanan King Cup of Champions menentang Al-Ettifaq, Ronaldo menerima sambutan 'mesra' daripada penyokong kelab tersebut ketika perlawanan sedang diadakan.
Terdapat satu rakaman menyaksikan penyokong Al-Ettifaq bersorak nama Messi kepada Ronaldo yang dalam proses untuk mengambil lontaran ke dalam buat pasukannya seperti dalam rakaman di Twitter (X).
Ronaldo kemudiannya meninggalkan bola tersebut untuk rakan sepasukan Abdullah Al-Khaibari melakukan lontaran, sambil berjalan masuk ke padang dia memberikan isyarat menyuruh penyokong Al-Ettifaq untuk berhenti daripada menyebut nama legenda Argentina itu.
Tindakan Ronaldo itu kemudiannya menerima tepukan gemuruh daripada penyokong Al-Nassr yang semestinya menyebelahi pemain mereka itu. Mujur, tiada insiden tidak diingini berlaku.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan ini berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak Al-Nassr. Bekas pemain Liverpool, Sadio Mane muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa pertama masa tambahan.
Kemenangan tersebut membawa Al-Nassr ke pusingan suku akhir King Cup of Champions. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram