SABAN tahun, setiap pemain dan jurulatih yang berkelana di Liga Malaysia akan berpeluang menerima penghargaan atas keringat yang diberikan sepanjang musim.
Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) akan menobatkan pemain-pemain dan barisan jurulatih terbilang yang berjaya memberikan kejayaan kepada kelab masing-masing.
Senarai pencalonan sudah pun dikeluarkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL). Namun begitu, terdapat beberapa nama yang dilihat 'tertinggal bas' daripada peluang mendapat penghargaan individu pada akhir musim.
Dalam analisis ringkas Majoriti, kita akan saksikan beberapa nama yang 'tertinggal bas' daripada menjadi calon untuk ABK23:
1. Duo import Sang Kenari dilupakan
Musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC mempunyai empat nama sahaja yang lolos ke pencalonan ABK23. Mereka adalah Nafuzi Zain (jurulatih terbaik), Kalamullah Al-Hafiz dan Syakir Danial (penjaga gol terbaik) serta Manuel Ott (pemain import terbaik).
Ini menimbulkan persoalan, ke mana nama-nama seperti Bojan Ciger serta Manuel Hidalgo? Musim ini, Ciger menunjukkan kualitinya di bahagian pertahanan dengan persembahan kental menyerap asakan lawan. Malah, Ciger antara pemain import yang mendapat perakuan daripada penyokong atas prestasi baiknya.
Bojan Ciger cukup ampuh untuk KDA. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Sementara Hidalgo pula merupakan pemain paling banyak melakukan bantuan gol untuk KDA musim ini dengan 10. Pemain ini nyata merupakan ancaman bahaya ketika Sang Kenari menyerang kerana selain bantuan gol, Hidalgo turut mencetak jaringan.
Dua nama ini jelas sekali berhak untuk berada dalam senarai akhir kategori pemain import terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka.
2. Orang besi Sang Saka Biru
Musim ini, PDRM FC mempamerkan persembahan cemerlang apabila berjaya menzahirkan bola sepak yang menghiburkan serta mencipta kejutan menentang beberapa pasukan.
Pasukan pertengahan liga ini mempunyai beberapa nama yang menjadi tulang belakang seperti Nabil Latpi, Bruno Suzuki serta Ramdhan Hamid. Namun nama pertahanan kental iaitu James Okwuosa.
James Okwousa (kanan) begitu kental untuk pertahanan PDRM. — Facebook/PDRM FC
Pemain dari Nigeria ini merupakan nadi penting pertahanan PDRM musim ini. Selain daripada persembahan cemerlang di depan gol sendiri, Okwuosa juga tajam apabila dekat dengan gawang lawan.
Tiga gol serta satu bantuan gol bukanlah satu rekod yang buruk bagi pemain pertahanan tengah. Jadi, kenapa nama Okwousa tidak tercalon untuk ABK23?
3. Bintang POTM Warga Kota hilang dari radar
Kuala Lumpur City (KL City) FC juga merupakan antara pasukan yang mempunyai bilangan wakil di ABK23 dalam bilangan kecil.
Hanya Kamal Azizi (pertahan terbaik), Paulo Josue dan Zhafri Yahya (pemain tengah terbaik) serta Haqimi Azim (penyerang dan pemain muda terbaik) sahaja yang tercalon bagi skuad Warga Kota sedangkan nama T. Saravanan tercicir.
Saravanan yang pernah memenangi Pemain Terbaik Bulanan Liga Super bagi bulan Mei mencuri tumpuan sebagai salah seorang penyerang muda berpotensi. Malah, dia juga pernah diserap masuk ke skuad Harimau Muda kendalian E. Elavarasan.
Nama Saravanan seharusnya boleh dipertimbang bagi gelaran pemain muda terbaik. Mungkin akan ada sedikit pertikaian kerana ada nama lain lebih layak tetapi Saravanan tidak boleh ditinggalkan dalam perdebatan mengenai kategori ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram