TONGGAK pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco, menganggap pertembungan separuh akhir kedua Piala Malaysia dengan Terengganu FC pada Jumaat sebagai penentu kehebatan dua ketua jurulatih Croatia membabitkan Terengganu dan KL City.
Untuk ketika ini, pertimbangan melibatkan pertemuan kedua-dua pasukan tersebut dilihat seimbang namun Giancarlo bertegas ia perlu dibuktikan siapa yang lebih cemerlang di atas padang sama ada Nenad Bacina atau Tomislav Steinbruckner, lapor Stadium Astro.
"Saya berasakan kedua-dua jurulatih memiliki corak permainan yang hampir sama. Kami telah seri tiga kali dalam empat pertemuan sepanjang musim ini.
"Ini adalah perlawanan penentuan dan berharap kami dapat melangkah ke final Piala Malaysia. Terdapat beberapa perkara yang dapat diperbaiki dan memastikan kami bermain cemerlang," katanya kepada Nadi Arena.
Ivan Mamut pastinya bakal menjadi ancaman buat Giancarlo.
Sebagai pemain, ia menjadi tanggungjawab untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir, dengan mengatasi kelebihan satu jaringan Terengganu ketika ini.
Jika aksi pertama KL City kehilangan tiga pemain utama iaitu Ryan Lambert, Paulo Josue dan Romel Morales, Giancarlo menegaskan aksi kedua mereka memiliki kesebelasan utama yang lebih mantap.
"Kami akan turun dengan barisan pemain utama dalam perlawanan akan datang. Kami akan hadir dengan pasukan terbaik dan kami yakin mampu memastikan keputusan yang baik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram