Ibarat bom jangka, Liga Super bakal disertai 13 pasukan kerana masalah kewangan


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Stuart berkata, Liga Super musim depan mungkin bakal disertai 13 pasukan sahaja. — Bernama

IBARAT bom jangka, saingan Liga Super berdepan situasi sukar yang hanya menanti waktunya untuk terjadi.

Semua ini berlaku dek kerana isu kewangan yang melanda beberapa pasukan. Saban tahun, akan ada saja pasukan yang mengalami masalah kewangan terutamanya melibatkan pembayaran gaji.

Dengan masalah yang semakin membarah dan seolah-olah tiada penamatnya. Saingan Liga Super bakal berdepan dengan situasi pasukan menarik diri untuk musim depan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, dia tidak menolak kemungkinan Liga Super musim depan hanya akan ditandingi oleh 13 pasukan.

“Jadi jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan). Jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku,” kata Stuart.

395524837_369388102109040_6159375407354014250_n

Daud Bakar secara terbuka mengakui KDA FC mengalami masalah kewangan. — Facebook/KDA FC

Pengurangan pasukan yang bertanding bukanlah kali pertama berlaku dalam Liga Super yang mana ia sebelum ini pernah mengalami perubahan format.

Musim ini sahaja, Liga Super yang sepatutnya diadakan dengan format 16 pasukan bertukar menjadi 14 kerana Melaka United dan Sarawak United menarik diri pada awal musim akibat isu sama.

Dalam masa yang sama, Stuart memuji tindakan pemegang saham majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Daud Bakar yang berani mengakui permasalahan yang berlaku terhadap pasukannya.

“KDA bukan ‘repeat offender’ (pesalah berulang), kita bagi ruang kepada pasukan untuk selesaikan masalah ini secara dalaman,” jelas Stuart.

397235852_354798200275503_1832464002557866485_n

Kelantan FC dikenali ramai kerana masalah tunggakan gaji. — Facebook/MFL

Sebelum ini terdapat cakap-cakap yang mengatakan hampir separuh daripada jumlah pasukan Liga Super yang bertanding pada musim ini mempunyai masalah tunggakan gaji.

Selain daripada KDA yang secara terbuka mengakui mempunyai masalah kewangan, pasukan Pantai Timur iaitu Kelantan FC juga berdepan dengan masalah sama dan seolah-olah tiada tanda ia akan berakhir.

Jika perkara ini berterusan dan tiada tindakan drastik diambil, saingan bola sepak tempatan diancam dengan lebih banyak pasukan gulung tikar dan tahap kompetitif bakal berkurangan dari tahun ke tahun. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram