Air mata Rizal Ghazali pernah tumpah iringi kejayaan Kedah raih gelaran ke-5 Piala Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Sang Kenari merangkul kejuaraan Piala Malaysia kelima mereka selepas menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam. — Agensi

DALAM sejarah bola sepak Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan salah sebuah daripada pasukan ulung.

Sejak zaman berzaman, mereka mengharungi pelbagai detik indah dalam bola sepak. Kemuncaknya adalah ketika era double treble yang diketuai oleh Azraai Khor Abdullah.

Selain daripada zaman gemilang, ada juga waktu mereka terkandas. Pada pertengahan era 2010-an, Sang Kenari berjaya bangkit semula daripada terperosok di Liga Premier hingga terus mendakap Piala Malaysia.

Ketika itu, KDA dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe mencuri tumpuan apabila berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dua kali berturut-turut pada 2015 dan 2016.

rizal

Rizal (tengah) meraikan jaringannya untuk KDA. — Agensi

Pada 2015, mereka bertemu Selangor FC namun nasib tidak menyebelahi apabila kecundang 0-2 hasil jaringan berganda Hazwan Bakri. Setahun kemudian, dendam berjaya dilunas.

Bertemu Gergasi Merah sekali lagi di perlawanan akhir, KDA yang lebih bersedia berjaya mendakap kejuaraan apabila sepakan Rizal Ghazali menghadiahkan mahkota Piala Malaysia kelima buat KDA dalam sejarah mereka.

Rizal menjadi wira Sang Kenari dalam penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1. Pertahanan kanan itu mengambil kesempatan menghasilkan gol kemenangan selepas tendangan pemain Selangor, Rizal Fahmi Rosid sebelum itu terkena tiang.

Tendangan Rizal memberikan kemenangan 6-5 buat KDA dalam penentuan itu dan air mata kegembiraan mengiringi pemain kelahiran Baling, Kedah itu apabila berjaya menghadiahkan Piala Malaysia buat pendukung Sang Kenari.

"Kemenangan ini untuk warga Kedah. Saya akhirnya memenangi kejuaraan utama saya sebagai jurulatih.

"Saya ucapkan tahniah kepada para pemain muda saya kerana mencipta sejarah untuk Kedah," kata Cheng Hoe selepas perlawanan.

Selepas tujuh tahun daripada kejayaan itu, Rizal dan Cheng Hoe kini tidak lagi bersatu. Rizal beraksi untuk Sabah FC sementara Cheng Hoe berkhidmat bersama-sama Selangor.

Musim ini pula, KDA menamatkan kempen Piala Malaysia dengan penuh kehampaan apabila dimalukan Perak FC pada halangan pertama kejohanan.

Penantian berterusan buat KDA dalam mencari kejuaraan keenam mereka dalam Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram