[VIDEO] Cristiano Ronaldo perang mulut dengan bekas bintang Liverpool lepas aksi di Arab Saudi


  • Podium
  • Rabu, 01 Nov 2023

Cristiano Ronaldo (kanan) beraksi dengan cukup baik ketika pertembungan Kejohanan Piala Raja Arab Saudi dengan Al-Ettifaq pada Selasa. — Agensi

SATU perbalahan hangat berjaya direkodkan antara dua bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan Jordan Henderson selepas aksi Kejohanan Piala Raja Arab Saudi antara Al-Nassr dan Al-Ettifaq pada Selasa.

Perlawanan yang berakhir dengan kemenangan buat Al-Nassr hasil jaringan Sadio Mane pada masa tambahan membolehkan tuan rumah menempah slot ke pusingan suku akhir pertandingan.

Namun, aksi di Stadium Al-Awwal Park, Arab Saudi itu menyaksikan seorang pemain daripada kedua-dua pasukan dilayangkan kad merah.

Jadi, tidak hairanlah apabila beberapa pemain dan staf kejurulatihan kelab memilih untuk mengerumuni pengadil perlawanan bagi mempertikaikan keputusan.

Tetapi, berdasarkan satu video tular, kelihatan Cristiano Ronaldo dan Henderson berperang mulut sehingga memaksa pemain Al-Nassr hadir dan meleraikan pertikaian berkenaan.

Pertikaman mulut itu berterusan ketika kedua-dua bintang tersebut memasuki bilik persalinan dengan Cristiano Ronaldo kelihatan cuba menegakkan pendiriannya.

Dalam pertembungan berkenaan, kedua-dua mereka dipilih sebagai kapten buat pasukan masing-masing selepas impak mereka cukup penting sejak tiba ke negara Timur Tengah itu.

Perlawanan itu turut menyaksikan penyokong pasukan pelawat mengejek tonggak skuad antarabangsa Portugal berkenaan yang tidak tercalon dalam Anugerah Ballon d'Or 2023.

Lawan kepada Al-Nassr dalam saingan Kejohanan Piala Raja Arab Saudi selepas ini juga masih belum diputuskan dengan beberapa kelab pilihan turut melayakkan diri. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram