SETIAP musim, pasukan-pasukan di Liga Super pasti akan membawa pemain baharu untuk menguatkan lagi skuad supaya boleh cuba mencabar kejuaraan.
Namun begitu, adat dalam bola sepak, tidak semua pemain yang dibawa memberikan hasil yang diharapkan. Ada saja yang tidak menjadi hinggakan kontrak ditamatkan ketika liga masih berlangsung.
Paling menyakitkan, ada pemain yang dibawa masuk dengan reputasi terbilang namun begitu prestasinya menjunam apabila bersama dengan pasukan baharu.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga pemain import yang indah khabar dari rupa dan perlu disingkirkan oleh kelab pada musim depan. Datangnya dengan penuh harapan tetapi akhirnya kecundang.
1. Lucas Silva (Sri Pahang FC)
Pemain ini membina reputasi pada musim lalu bersama-sama Penang FC. Di saat Harimau Kumbang tidak cemerlang, Silva tampil sebagai antara beberapa pemain yang menonjol dalam kelab tersebut.
Disebabkan itu, Silva mendapat tawaran daripada Sri Pahang. Pemergiannya tidak disenangi oleh penyokong Penang sementara pendukung Tok Gajah gembira dengan kehadirannya.
Namun begitu, semuanya tidak menjadi seperti diharapkan. Silva dianggap sebagai pemain import yang mengecewakan apabila tidak memberi sebarang impak buat Tok Gajah di depan pintu gol lawan.
Silva hanya menghasilkan satu bantuan gol dalam enam penampilan bersama Sri Pahang dalam kesemua kejohanan. Sebagai perbandingan, Silva menghasilkan 11 gol untuk Harimau Kumbang pada musim lalu.
2. Adisak Kraisorn (Terengganu FC)
Ini mungkin merupakan antara salah satu daripada pemain paling mengecewakan dalam kalangan bintang import Liga Super musim ini. Adisak hadir dengan reputasi cemerlang sebagai penggempur cemerlang Thailand hadir ke Malaysia untuk beraksi.
Lebih cemerlang, Adisak hadir dengan reputasi sebagai pemenang kasut emas Piala AFF 2022 yang menyaksikan Thailand muncul juara. Ketika pramusim, dia menjadi tumpuan penyokong Terengganu. Setiap sentuhannya mendapat sorakan penyokong ketika Terengganu menjalani perlawanan pemanas badan.
Prestasi Adisak dianggap tidak memuaskan bagi penyokong Terengganu. — Facebook/Terengganu FC
Namun begitu, entah di mana silapnya Adisak tidak bermain seperti yang diharapkan. Namanya semakin tenggelam malah penyerang seperti Ivan Mamut dianggap lebih baik daripadanya.
Kini semakin tumpul, sudah ada suara daripada penyokong Terengganu yang mahukan Adisak dilepaskan pada musim depan. Namun ia kelihatan sukar kerana pemain Thailand itu mempunyai tempoh setahun lagi dalam kontraknya.
3. Richmond Boakye (Selangor FC)
Untuk penyerang import Selangor ini, kehadirannya bukanlah ketika awal musim tetapi ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. Akan tetapi, hype yang diberikan sangat kuat.
Boakye pernah bermain untuk gergasi Itali iaitu Juventus. — Facebook/Selangor FC
Boakye hadir dengan reputasi pernah mengecewakan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan La Liga pada 2013. Ketika itu, dia yang mewakili Elche menjaringkan gol yang hampir membuatkan Real Madrid kecewa namun akhirnya pasukan tewas jua. Selain itu, dia juga memasang azam untuk menumbangkan Johor Darul Takzim.
Akan tetapi, segala yang dicanang tidak menjadi nyata. Boakye menjadi sasaran kritikan pedas penyokong Gergasi Merah malah dianggap sebagai beban kerana kadar kerja (work rate) pemain ini begitu rendah dalam membantu pasukan terutamanya sewaktu menyerang.
Desakan penyokong Selangor terhadap Boakye semakin kuat dengan mereka benar-benar mahukan dia dilepaskan pada musim depan supaya kelab boleh mendapatkan pemain yang lebih baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram