[VIDEO] Padah mulut celupar, penyokong City dicekup polis persenda kematian Bobby Charlton


  • Podium
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Dua penyokong remaja Manchester City dihukum kerana tindakan kurang bijak mereka ketika pemergian Sir Bobby Charlton.

PEMERGIAN legenda bola sepak England, Sir Bobby Charlton jelas sebuah kehilangan besar bagi negara tersebut.

Bukan sahaja England, tetapi kelabnya iaitu Manchester United turut terkesan. Secara amnya, pemergian Charlton merupakan kehilangan besar buat bola sepak sejagat.

Pengaruhnya di atas padang serta budi pekertinya sebagai seorang manusia akan sentiasa dirindukan terutamanya mereka yang membesar melihat kehebatannya sebagai pemain.

Namun bagi generasi baharu, mereka agak sukar untuk mengerti kehebatan legenda-legenda terdahulu. Pada mereka, yang hebat hanya Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Erling Haaland dan Kylian Mbappe.

Kerana itu, ada di antara generasi baharu penyokong bola sepak tergamak mempersenda kematian legenda bola sepak terulung yang muncul sebelum mereka lahir lagi.

Seorang penyokong remaja Manchester City telah pun dicekup polis selepas tindakannya mempersenda kematian Charlton menjadi tular di laman Twitter (X).

Dia yang merakam tindakan kurang bijaknya itu kemudiannya menyiarkannya di laman media sosial lalu tular. Dalam rakaman tersebut, penyokong City tersebut menyorak 'Charlton di dalam keranda' di stadium.

Menurut BBC News, penyokong berusia 17 tahun tersebut telah didakwa atas kesalahan menganggu ketenteraman awam.

Penyokong tersebut yang dicekup oleh Greater Manchester Police kemudiannya dilepaskan dengan ikat jamin sementara rakannya yang juga merupakan peminat bola sepak bawah umur turut terlibat dalam kes ini.

Rakan suspek yang berusia 14 tahun dilaporkan menyerah diri untuk disoal siasat berkenaan perkara ini. Selepas itu, dia dilepaskan dengan penyelesaian luar mahkamah dikenakan terhadapnya.

Walaupun sudah selesai dengan pihak polis, City tetap memberikan tindakan kepada dua penyokong remaja ini.

Kedua-duanya telah diharamkan oleh pihak kelab daripada menonton perlawanan City baik di laman sendiri atau tempat lawan.

Perlu diingat, sebagai penyokong bola sepak harus bertindak wajar dalam semua perkara. Jangan biarkan nilai fanatik menguasai diri hingga menimbulkan kerugian.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram