AKSI Kelayakan Kejohanan Euro 2024 antara Portugal dengan Bosnia & Herzegovina bertukar cemas apabila penyerang legenda bola sepak, Cristiano Ronaldo didatangi penceroboh padang.
Dalam aksi di Stadium Bilino Polje, Bosnia pada Selasa, pemain berusia 38 tahun berkenaan beraksi dengan cukup baik selepas menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.
Namun, pada minit ke-39, dia yang sedang mahu mengambil lontaran ke dalam secara tiba-tiba didatangi individu tidak dikenali, namun dipercayai peminatnya.
Ia berdasarkan pakaian dikenakannya merupakan jersi Al-Nassr yang mana pasukan kepada Cristiano Ronaldo dalam Liga Pro Arab Saudi.
Terkejut dengan insiden berkenaan, kapten skuad Portugal itu kemudiannya dilihat sedikit bergelut untuk melepaskan diri dengan penonton tersebut cuba berswafoto bersama-sama.
Bagaimanapun, situasi berkenaan segera ditenangkan pihak keselamatan stadium yang menarik individu terbabit dan dibawa keluar dari pekarangan stadium.
Insiden terbabit dilihat sedikit memberi kesan kepada Cristiano Ronaldo yang seperti mengalami kecederaan kerdil di pergelangan kakinya.
Tetapi, pemenang Anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali terbabit mampu meneruskan permainan sehingga minit ke-66 sebelum digantikan dengan penyerang Liverpool, Diogo Jota.
Dalam perlawanan berkenaan, Portugal meraih kemenangan 5-0 dengan ia merupakan kemenangan kelapan berturut-turut di peringkat kumpulan yang sekali gus mengesahkan kejayaan mereka untuk layak ke Kejohanan Euro 2024.
Cristiano Ronaldo menjadi watak penting buat negaranya dalam kempen kelayakan apabila dua gol pada Selasa mengikatnya di kedudukan teratas carta penjaring terbanyak dengan sembilan gol di samping penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram