SEJAK berpindah ke bumi Arab Saudi untuk menyertai Al-Nassr FC banyak perubahan yang berlaku terhadap bintang dunia bola sepak, Cristiano Ronaldo.
Antaranya Ronaldo dilihat sudah terbiasa dengan budaya serta pemakaian rakyat di sana seperti mengenakan jubah dan serban.
Selain itu, Ronaldo juga kelihatan tidak kekok untuk mengucapkan 'assalamualaikum' setiap kali berjumpa rakan sepasukannya di Al-Nassr ataupun berhadapan dengan lensa kamera media Arab Saudi.
Tidak berhenti di situ, baru-baru ini dunia dikejutkan apabila pemain berusia 38 tahun itu dipercayai mengucapkan 'bismillah' sebelum mengambil sepakan penalti menentang Slovakia dalam aksi kelayakan Euro 2024 pada Jumaat lalu.
Video yang tular di media sosial itu menampakkan gerakan bibir Ronaldo seolah-olah mengucapkan perkataan 'bismillah' sebanyak dua kali.
Namun ada beberapa penyokong menafikan Ronaldo menyebut 'bismillah' tetapi 'respira' iaitu bermaksud tarik nafas dalam bahasa Latin.
Biarpun dianggap ‘kuda tua’, Ronaldo tetap cemerlang apabila dua golnya berjaya memacu Portugal layak ke pusingan akhir Euro 2024 menerusi kemenangan 3-2 ke atas Slovakia.
Ia merupakan koleksi gol antarabangsa ke-125 buat Ronaldo dalam 202 penampilan bersama Portugal sejak melakukan debut pada 2003.
Satu lagi jaringan Portugal dalam aksi itu dijaringkan oleh Goncalo Ramos, manakala Slovakia pulang dengan tangan kosong walaupun meledak dua gol melalui David Hancko dan Stanislav Lobotka.
Keputusan itu menyaksikan Portugal yang pernah menjuarai Euro 2016, merekodkan kemenangan 100 peratus daripada tujuh aksi kelayakan untuk mendahului carta Kumpulan J dengan 21 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram