[VIDEO] Sejarah tercipta! Messi tewaskan Haaland & Mbappe untuk raih Ballon d'Or ke-8


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Lionel Messi menjadi pemain pertama mendapat lapan gelaran Ballon d'Or dalam sejarah. — Agensi

SEJARAH tercipta buat legenda bola sepak Argentina iaitu Lionel Messi apabila dia merangkul gelaran Ballon d'Or untuk sekali lagi.

Dianggap sebagai anugerah pencapaian individu tertinggi dalam bola sepak, Messi mencipta rekod dengan merangkul gelaran kelapan - paling tinggi bagi mana-mana pemain dalam sejarah.

Majlis yang diadakan di Paris, Perancis menyaksikan anugerah anjuran France Football ini menobatkan Messi sebagai pemenang mengatasi dua calon terdekat iaitu Erling Haaland dan Kylian Mbappe.

Memperoleh 16 pencalonan, kejayaan Messi banyak dipengaruhi oleh persembahan cemerlangnya bersama-sama skuad Argentina ketika saingan Piala Dunia 2022 yang diadakan di Qatar.

Persembahan cemerlangnya itu telah membawa Argentina menjadi juara dunia buat kali ketiga menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti.

Kejayaan membawa pulang Piala Dunia telah mengatasi mana-mana pencapaian yang dianggap hebat. Sebagai contoh, rekod Haaland bersama-sama Manchester City pada musim lalu turut mengagumkan pengikut bola sepak dunia.

Penyerang berbisa dari Norway itu meraih gelaran treble bersama-sama Manchester City apabila merangkul kejuaraan English Premier League, FA Cup dan UEFA Champions League.

Pengaruh persembahan cemerlang di Piala Dunia 2022 bukan sekadar menobatkan Messi dengan anugerah tetapi rakan sepasukannya, Emi Martinez turut membawa pulang anugerah Yashin yang dikhaskan buat penjaga gol.

Walaupun prestasinya bersama-sama Aston Villa bukanlah secemerlang penjaga gol lain, tetapi persembahan hebat bersama Argentina dalam usaha mendapatkan Piala Dunia memainkan peranan namanya diangkat sebagai pemenang.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang anugerah Ballon d'Or bagi 2023:

  • Ballon d'Or (lelaki) - Lionel Messi (Argentina/Paris Saint-Germain & Inter Miami)
  • Ballon d'Or (wanita) - Aitana Bonmati (Sepanyol/Barcelona)
  • Kelab terbaik (lelaki) - Manchester City (England)
  • Kelab terbaik (wanita) - Barcelona (Sepanyol)
  • Kopa Trophy - Jude Bellingham (England/Real Madrid)
  • Yachine Trophy - Emi Martinez (Argentina/Aston Villa)
  • Gerd Muller Trophy - Erling Haaland (Norway/Manchester City)
  • Socrates Award - Vinicius Jr (Brazil/Real Madrid)

Kemenangan Messi sedikit sebanyak menguatkan lagi hujah peminat bintang Argentina itu sebagai pemain terhebat sepanjang zaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram