Bertahan hanya setahun, Benjamin Mora tinggalkan kelab Mexico


  • Podium
  • Rabu, 01 Nov 2023

Jurulatih berusia 44 tahun itu pastinya akan segera menerima tawaran rentetan reputasi kariernya yang cukup baik. — Agensi

SETELAH mencipta nama bersama Johor Darul Takzim (JDT) selama beberapa tahun, pengendali kelahiran Mexico, Benjamin Mora memilih untuk pulang ke negara kelahirannya tahun lalu.

Ia pastinya tidak mengejutkan memandangkan jurulatih berusia 44 tahun tersebut mengecapi pelbagai kejayaan bersama skuad Harimau Selatan.

Antara momen dan sumbangan sukar dilupakan daripadanya adalah apabila dia membantu jaguh Liga Super itu melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-juara AFC (ACL) buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Jadi, tidak hairanlah apabila kepulangannya ke Mexico cukup dialu-alukan dengan pasukan tempatan, Atlas segera menyambar khidmatnya beberapa minggu selepas itu.

Meskipun memulakan kariernya dengan cukup baik pada penghujung musim lalu, Mora bagaimanapun berdepan cabaran apabila gagal menyuntik semangat baharu buat kelab itu.

Dalam 14 perlawanan Liga MX Apertura 2023/24, skuad Los Rojinegros berada di tangga ke-13 dengan hanya empat kemenangan dan empat keputusan seri direkodkan.

Rentetan daripada keputusan tidak memberangsangkan itu, Mora mengambil keputusan meninggalkan jawatannya dengan perkara itu disahkan menerusi satu surat di laman Instagram peribadinya.

WhatsApp Image 2023-11-01 at 16.04.26

Pengumuman yang dibuat Mora di laman Instagram peribadinya pada Selasa. Instagram/misterbenjaminmora

"Setelah setahun di sini, ia merupakan masa tepat buat saya mengucapkan selamat tinggal. Ia merupakan satu harapan besar buat saya untuk terus kekal dan mengecapi lebih banyak kejayaan serta pencapaian menakjubkan.

"Saya mahu mengucapkan penghargaan dari dasar hati saya kepada pihak pengurusan yang diketuai Alejandro Irragorri dan presiden kelab, Jose Riestra atas peluang dan kepercayaan sepanjang tempoh ini," tulisnya.

Sebelum ini, Mora mengendalikan JDT II dari 2015 sehingga 2016 sebelum dilantik sebagai pengendali sementara skuad utama pada 2017.

Dia kemudiannya diberi kepercayaan penuh dari 2020 hingga 2022 apabila menggantikan Luciano Figueroa setelah membuktikan kebolehan bersama pasukan belia.

Tetapi, pada pertengahan musim lalu, pihak pengurusan JDT memilih untuk menggantikannya dengan Hector Bidoglio dengan laporan mengatakan persetujuan dicapai kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, dengan rekodnya yang cemerlang dalam bidang kejurulatihan, Mora pastinya akan menarik minat kelab-kelab di Mexico ataupun Asia pada masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram